
Nahas FRU: Sultan Selangor Titah Kerajaan Beri Perhatian Serius Kemalangan Babit Kenderaan Berat
Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Hajah Norashikin berkenan menzahirkan perutusan takziah kepada keluarga dan waris sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam nahas ngeri di Teluk Intan, Perak pada 13 Mei 2025.
Menerusi perutusan yang dimuat naik di laman Facebook Selangor Royal Office, Duli-Duli Tuanku juga menzahirkan rasa sedih dan dukacita berikutan nahas menyayat hati yang menimpa semua mangsa terlibat.
Dalam titah Baginda, kerajaan perlu memberi perhatian yang serius terhadap kejadian kemalangan jalan raya, terutamanya kejadian yang melibatkan kenderaan berat di jalan dan lebuh raya.
Baginda turut menzahirkan rasa kesal apabila kebimbangan ini sudah berulang kali disuarakan. Hal ini khususnya perkara yang menyentuh hukuman kepada pemandu kenderaan atau syarikat yang cuai, malah tidak menepati syarat keselamatan yang ditetapkan.
DYMM Baginda Sultan juga menitahkan agar tindakan segera yang lebih tegas diambil oleh pihak berkuasa. Ia berikutan jumlah kes dan tragedi seumpama ini semakin meningkat. Tidak hanya itu, kadar kemalangan jalan raya juga semakin kerap berlaku.
“Baginda mahu, sekiranya didapati bersalah dan menjadi punca dalam kemalangan maut atau menyebabkan kecederaan parah, pemandu dan syarikat terlibat bukan sahaja perlu didenda atau dipenjara, malah lesen memandu mereka wajar ditarik balik.
“Perkara ini bagi memberi pengajaran kepada pemandu lain agar mereka lebih berhati-hati dan memberi tumpuan yang tidak berbelah bahagi ketika memandu,” titah Baginda menerusi perutusan tersebut.
Sehubungan dengan itu, Baginda juga menggesa supaya penilaian ketat dalam pemilihan pemandu dan kelindan yang bersih dan tidak bersalah dilaksanakan oleh syarikat pengendali perkhidmatan lori, bas dan kenderaan berat yang lain.
Selain itu, Baginda turut memberi peringatan kepada semua pihak yang terlibat agar tidak memandang enteng dan menutup sebelah mata dalam perkara yang berisiko ke arah kecuaian. Antara contoh perkara yang Baginda senaraikan termasuk keadaan kenderaan dan kelayakan pemandu.
“Baginda berharap dan berdoa agar tidak akan lagi berlaku tragedi kemalangan sebegini, apatah lagi yang membabitkan kehilangan nyawa insan-insan tidak berdosa, khususnya mereka yang sedang berkhidmat untuk keamanan negara,” titah Baginda dalam perutusan berkenaan.
Sumber: Selangor Royal Office
The post Nahas FRU: Sultan Selangor Titah Kerajaan Beri Perhatian Serius Kemalangan Babit Kenderaan Berat appeared first on Siakap Keli.


