Nahas helikopter: Keputusan DNA mangsa diperoleh, penyerahan jasad hari ini

12 Sep 2026 • 10:54 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Nahas helikopter: Keputusan DNA mangsa diperoleh, penyerahan jasad hari ini

Miri, 12 SEPT: Keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang telah diperoleh dan proses penyerahan jasad akan dilakukan hari ini, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah.

Beliau berkata penyerahan jasad mangsa kepada waris akan dilakukan selepas semua proses dokumentasi berkaitan diselesaikan.

“Hari ini kita akan serahkan jasad mangsa. Setelah selesai dokumentasi, jasad akan diserahkan kepada keluarga,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, persiapan bagi persemadian tiga daripada lima mangsa sedang dilakukan oleh keluarga masing-masing.

Jasad pembantu pegawai perubatan Alexson Adit Henry akan disemadikan di Tanah Perkuburan Anglican di Lambir selepas upacara keagamaan yang akan diadakan di Gereja Good Shepherd di Lutong pada 9 pagi, Selasa ini.

Kakak mendiang, Annastasia Luyah dalam hantaran menerusi Facebook memaklumkan upacara penghormatan terakhir akan diadakan pada Isnin ini di kediaman keluarga mereka di Taman Desa Senadin di sini.

Upacara penghormatan terakhir buat mendiang kedua-dua jururawat iaitu Jessie Paya Jok akan diadakan di Taman Wang Lusut, di sini manakala Debra Moset di Kampung Semadang di Padawan, Kuching, namun tarikh persemadian belum dimaklumkan.

Nahas pada Selasa lepas itu meragut nyawa kesemua lima individu yang menaiki helikopter BO-105 dikendalikan Layang-Layang Aerospace selepas helikopter itu terhempas berhampiran hujung landasan STOLport Long Lellang kira-kira 3.40 petang.

Selain Alexson, Jessie dan Debra, mangsa lain yang terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, dan pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33.

Jenazah Allahyarham Dr Ainul Baraah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sri Kedeper di Kelantan manakala Zainol Afiq di Negeri Sembilan.

Semalam, Mohamad Zainal memaklumkan proses bedah siasat kesemua mangsa telah selesai dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Miri pada 7.30 malam Khamis manakala analisis DNA dijangka siap hari ini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved