
MIRI – Analisis sampel asid deoksiribonukleik (DNA) lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, di sini pada Selasa lalu dijangka selesai selewat-lewatnya esok.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, jenazah kesemua mangsa akan diserahkan kepada waris masing-masing selepas analisis DNA selesai.
“Kita jangka analisis DNA lima mangsa mungkin dapat disiapkan selewat-lewatnya esok,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, proses bedah siasat kelima-lima mangsa yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Miri selesai dengan punca kematian disahkan akibat kecederaan melecur teruk.
Pada Selasa lalu, helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport).
Mangsa yang terkorban ialah juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pegawai perubatan, Dr. Ainul Baraah Kamaruddin, 33, pembantu perubatan, Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44. – BERNAMA
The post Nahas helikopter: Analisis DNA lima mangsa dijangka selesai esok appeared first on Kosmo Online.






