
KUALA LUMPUR - Semua operasi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Sarawak digantung sementara bagi membolehkan siasatan serta semakan dibuat terhadap aspek keselamatan dan mekanisme operasi.
Ia susulan nahas helikopter di Long Lellang, Miri, Sarawak, Selasa lalu yang meragut lima nyawa.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkhidmatan pemindahan perubatan (Medevac) bagi kes kecemasan bagaimanapun akan diteruskan menerusi kerjasama antara Kementerian Kesihatan (KKM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Beliau berkata, KKM juga akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi meneroka penggunaan aset ATM, untuk memastikan pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan dapat dipindahkan ke fasiliti kesihatan bersesuaian.
“Semua operasi FDS di Sarawak digantung sementara bagi membolehkan pihak berkaitan menjalankan siasatan serta semakan terhadap mekanisme keselamatan dan operasi,” katanya hari ini.
Menurutnya, KKM akan menjalankan penilaian menyeluruh terhadap keseluruhan rangka kerja penyampaian perkhidmatan FDS di Sarawak.
Jelas Dr Dzulkefly, ia meliputi aspek kontrak, tadbir urus, keselamatan operasi, keperluan liputan serta keberkesanan model penyampaian perkhidmatan sedia ada.
“Penilaian ini bertujuan memastikan pendekatan yang akan dilaksanakan pada masa hadapan lebih selamat, berdaya tahan, mampan dan responsif terhadap keperluan kesihatan masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, KKM turut menilai semula lokasi serta kaedah akses kepada perkhidmatan FDS, termasuk alternatif pengangkutan dan pendekatan lain yang selamat serta praktikal bagi memastikan masyarakat di pedalaman terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan.
Dr Dzulkefly berkata, KKM memahami kesukaran dan cabaran yang mungkin timbul susulan penggantungan sementara berkenaan.
“Bagaimanapun, keselamatan petugas dan pesakit kekal menjadi keutamaan KKM, di samping memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman.
“KKM akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa dan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai sewajarnya,” katanya. - Getaran, 10 September 2026






