
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Nahas Helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) atau Flying Doctor di Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), Ulu Baram, Sarawak pada Selasa (8 September) lalu masih hangat lagi diperkatakan sehingga kini.
Manakan tidak, seramai empat petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan seorang juruterbang dilaporkan maut dalam tragedi menyayat hati itu.
Baca Artikel Berkaitan: Nahas Helikopter: Residen Miri Sahkan Juruterbang & 4 Petugas KKM Meninggal Dunia
KKM Tangguh Sementara Perkhidmatan Doktor Udara, Perkhidmatan Medevac Bagi Kes Kecemasan Diteruskan
Terbaharu, KKM memutuskan kesemua operasi perkhidmatan FDS ditangguhkan sementara.
KKM dalam satu kenyataan berkata langkah itu diambil bagi membolehkan siasatan serta semakan terhadap mekanisme keselamatan dilakukan oleh pihak berkaitan.
Namun, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan perkhidmatan Pemindahan Perubatan (Medevac) bagi kes kecemasan akan terus dilaksanakan menerusi kerjasama KKM dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Pada masa sama, KKM akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi meneroka usaha menggunakan aset ATM untuk pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan dapat dipindahkan ke fasiliti kesihatan yang bersesuaian,” jelasnya.
KKM Laksanakan Penilaian Menyeluruh Penyampaian Perkhidmatan FDS
Tambah Dr Dzulkefly, KKM juga akan melaksanakan penilaian secara menyeluruh terhadap perkhidmatan FDS di Sarawak.
Ia merangkumi aspek kontrak, tadbir urus, keselamatan operasi, keperluan liputan serta keberkesanan model penyampaian perkhidmatan sedia ada.
“Penilaian ini bertujuan memastikan pendekatan yang akan dilaksanakan pada masa hadapan adalah lebih selamat, berdaya tahan, mampan dan responsif terhadap keperluan kesihatan masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak,” katanya.
Tambahnya lagi, KKM juga sedang menilai semula lokasi serta kaedah akses perkhidmatan FDS.
Ia termasuklah alternatif pengangkutan serta pendekatan lain yang lebih selamat dan praktikal untuk memastikan masyarakat di kawasan pedalaman terus mendapat akses perkhidmatan kesihatan.
Keselamatan Petugas & Pesakit Jadi Keutamaan
Malah jelasnya, KKM memahami cabaran serta kesulitan yang timbul akibat penangguhan sementara ini.
“Walau bagaimanapun, keselamatan petugas dan pesakit kekal menjadi keutamaan KKM, di samping memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman.
“KKM akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa dan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang awam sewajarnya,” katanya
Semua Pesawat BO-105 Turut Digantung Operasi Sebagai Langkah Keselamatan
Dalam pada itu, Layang Layang Aerospace mengambil langkah segera dengan menggantung operasi kesemua pesawat BO-105 susulan tragedi berkenaan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud, penggantungan operasi itu turut melibatkan pesawat lain dalam armada syarikat berkenaan yang menggunakan enjin siri Rolls-Royce 250.
Tambahnya, langkah itu merupakan inisiatif dari Layang Layang Aerospace sebagai langkah keselamatan ekoran nahas berkenaan.
Penggantungan Operasi Bukan Petunjuk Enjin Atau Komponen Pesawat Jadi Punca Nahas
Walau bagaimanapun, tegas Norazman, penggantungan operasi itu tidak boleh dijadikan petunjuk bahawa enjin atau komponen pesawat menjadi punca insiden terbabit.
“Penggantungan ini merupakan langkah keselamatan berjaga-jaga yang diambil oleh pengendali.
“Ia tidak seharusnya ditafsirkan sebagai petunjuk bahawa enjin atau mana-mana komponen tertentu menjadi punca kemalangan,” katanya yang dipetik dari Kosmo.
CAAM Pantau Proses Penggantungan, Turut Sifatkan Terlalu Awal Buat Spekulasi Punca Kemalangan
Tambah Norazman lagi, proses penggantungan sementara serta pemeriksaan armada yang dilakukan oleh pengendali juga akan dipantau oleh CAAM.
Malah, pihaknya juga sedang mengesahkan kesemua rekod kawal selia berkaitan pesawat, pengendali dan juruterbang.
“Pada peringkat ini, terlalu awal untuk membuat spekulasi sama ada kemalangan itu berpunca daripada masalah teknikal, keadaan cuaca, faktor manusia atau faktor lain,” jelasnya.
Siasatan Nahas Dijalankan AAIB, CAAM Beri Kerjasama Penuh
Jelas Norazman, siasatan mengenai nahas terbabit akan dijalankan secara bebas oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT).
CAAM pula akan memberi kerjasama penuh termasuklah menyerahkan semua rekod yang berkaitan.
Tambah Norazman, segala dapatan muktamad mengenai keadaan, faktor penyumbang serta punca nahas hanya akan ditentukan oleh AAIB selepas pemeriksaan menyeluruh dilakukan terhadap semua bukti.
Baca Artikel Berkaitan: Nahas Helikopter: Ada Tanya Kenapa Mangsa Tak Lompat Keluar & Tak Sedia Payung Terjun? Ini Penjelasan Bekas Jurulatih Pilot
Baca Artikel Berkaitan: Nahas Helikopter: Kadar Insentif FDS RM30 Perlu Dikaji Semula – MMA






