Nahas helikopter TLDM: Pas gesa siasatan disegerakan

24 Apr 2024 • 10:23 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Takiyuddin

SHAH ALAM - Pas menggesa agar siasatan terhadap nahas helikopter yang mengorbankan 10 orang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk disegerakan dan mengutamakan kebajikan keluarga mangsa.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, walaupun menteri dan kementerian terlibat tidak menetapkan had masa untuk menyediakan laporan interim kejadian, namun ia wajar dipercepatkan.

Menurutnya, kehilangan serentak itu merupakan kerugian besar kepada pasukan, negara serta seluruh rakyat Malaysia lebih-lebih lagi keluarga mangsa.

“Pas menyambut baik jaminan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk bukan sahaja membantu menguruskan jenazah mangsa tetapi mengurus semua manfaat serta faedah sewajarnya diterima oleh balu dan keluarga mangsa bagi menjaga kebajikan mereka.

“Walaupun tidak menetapkan had masa menyediakan laporan interim kejadian, jaminan menteri untuk melakukannya, selain keputusan kementerian menubuhkan sebuah lembaga siasatan TLDM bagi mengenal pasti punca kejadian adalah langkah tepat dan sewajarnya disegerakan tanpa lengah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada Rabu, berhubung insiden dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan TLDM, ketika menjalani raptai untuk kali ketiga bersempena sambutan Hari Terbuka Armada TLDM.

Nahas berkenaan telah menyebabkan 10 anggota TLDM yang berpangkalan di Lumut, Perak dan Kota Kinabalu, Sabah maut.

Pada masa sama, Pas mengalu-alukan tindakan pantas Mohamed Khaled membatalkan acara sambutan ulang tahun TLDM yang dijadualkan Jumaat ini untuk digantikan dengan majlis tahlil dan doa selamat.

Dalam pada itu, parti berkenaan turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga semua anggota dan berharap agar mereka tabah serta sabar mengharungi kehilangan tersebut.

“Pas merakamkan rasa sedih dan terkejut atas insiden kemalangan helikopter yang mengorbankan 10 orang anggota tentera kita dalam raptai lintas hormat sempena Sambutan Ulang Tahun ke-90 TLDM di Pangkalan TLDM Lumut awal pagi semalam.

“Pas mengucapkan takziah kepada keluarga semua anggota terlibat dengan harapan mereka akan menemui kekuatan untuk mengharungi kehilangan ini dengan tabah dan sabar, selain mendoakan kesejahteraan serta kebaikan kepada mangsa,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!