
IPOH: Keluarga tiga beranak yang maut selepas dilanggar lori Jabatan Imigresen di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur awal pagi semalam mahu siasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh bagi memastikan keadilan kepada semua mangsa.
Abang ipar kepada mangsa, Shaik Mohd. Firdaus Shaikh Yahya, Mohd. Nadzri Razali, 69, berkata, keluarga mahu mendapatkan penjelasan sebenar berhubung tragedi yang meragut nyawa tiga ahli keluarga itu.
Menurutnya, keluarga dimaklumkan mengenai keadaan lampu isyarat ketika kejadian dan berharap semua aspek termasuk pergerakan lori imigresen diteliti pihak berkuasa.
“Kalau boleh saya mahu siasatan penuh sebab dengar cerita ketika kejadian lampu isyarat merah dan kenderaan Jabatan Imigresen itu melintas.
“Saya minta keadilan untuk arwah dan adik saya serta dua anak mereka yang terkorban,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Aman Fasa 2, Mambang Di Awan, Kampar semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, Shaik Mohd. Firdaus, 53, maut bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12, selepas dirempuh lori imigresen yang dalam perjalanan untuk mengambil Orang Kena Tahan (OKT) dalam satu operasi.
Isteri mangsa, Norhayati Razali, 55, turut terlibat dalam kemalangan dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan keadaannya dilaporkan stabil.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan awal dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kedudukan keluarga berkenaan ketika kejadian adalah di kawasan selamat untuk melintas jalan.
Menurutnya, rakaman CCTV menunjukkan keluarga berkenaan berada di pembahagi jalan di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Ismail dari arah Medan Tuanku, berhadapan Maju Junction, kira-kira pukul 1 pagi.
Katanya, lori imigresen yang datang dari arah bangunan Wisma FGV dengan lampu beacon dinyalakan kemudian memasuki Jalan Tuanku Abdul Rahman ketika lampu isyarat trafik masih merah.
“Pada masa sama, sebuah Proton Saga dipandu lelaki berusia 50 tahun sedang bergerak lurus melalui persimpangan berkenaan ketika lampu isyarat hijau.
“Pemandu kereta itu dipercayai tidak sempat mengelak sebelum berlaku perlanggaran dengan lori imigresen yang kemudian merempuh empat pejalan kaki daripada keluarga berkenaan.
“Kedua-dua pemandu direman sehari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan dalaman bagi meneliti aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan keselamatan pengoperasian kenderaan jabatan.
Katanya, pihaknya memandang serius kejadian itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa serta siasatan dalaman.
“Justeru, kita akan menjalankan siasatan dalaman terhadap aspek pematuhan prosedur operasi standard dan keselamatan berkaitan pengoperasian kenderaan. Perkara ini akan diteliti secara menyeluruh,” katanya.-UTUSAN
The post Keluarga tiga beranak maut tuntut siasatan penuh appeared first on Utusan Malaysia.





