
KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Jenazah tiga sekeluarga yang maut dalam kemalangan membabitkan lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Sultan Ismail di sini awal pagi tadi dibawa keluar dari Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas proses bedah siasat selesai kira-kira 5.45 petang ini.
Tinjauan mendapati jenazah Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, serta Siti Darwisyah Auni, 12, dibawa keluar menggunakan tiga van jenazah dari bangunan IPFN untuk diserahkan kepada waris bagi urusan seterusnya.
Difahamkan jenazah ketiga-tiga mangsa akan dibawa ke Masjid Jamiul Ehsan, Jalan Pahang di sini untuk dimandikan, dikafankan dan disolatkan sebelum dibawa pulang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Hitam Labu, Kampar, Perak.

Terdahulu, media melaporkan tiga pejalan kaki yang juga satu keluarga itu maut manakala seorang lagi cedera parah selepas dirempuh lori “Black Maria” JIM di Jalan Sultan Ismail kira-kira 1 pagi tadi.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori tanpa muatan yang sedang dalam perjalanan menuju ke Chow Kit bagi operasi pendatang tanpa izin itu, dipandu masuk ke persimpangan ketika lampu isyarat berwarna merah dengan lampu suar (beacon) serta siren diaktifkan.
Kenderaan tugas rasmi itu kemudiannya bertembung dengan sebuah kereta Proton Saga yang bergerak lurus ketika lampu isyarat hijau, menyebabkan lori berkenaan hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh kesemua mangsa serta sebuah kereta Inokom Matrix.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.






