
KUALA LUMPUR – Pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah terus menjadi ancaman serius terhadap keselamatan jalan raya di Malaysia apabila sebanyak 31 kemalangan maut direkodkan tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, jumlah itu adalah peningkatan, berbanding 27 kes dicatatkan pada 2024.
Menurut beliau, setiap insiden yang melibatkan pemandu mabuk atau berada di bawah pengaruh dadah membawa implikasi besar serta risiko kehilangan nyawa.
Katanya, walaupun peningkatan yang dicatatkan tidak begitu ketara, setiap kes tetap mengakibatkan kehilangan nyawa yang tragis dan tidak boleh dipandang ringan.
“Realitinya, insiden seperti ini berpunca daripada tingkah laku pemandu yang sebenarnya boleh dielakkan.
“JSPT memandang perkara ini dengan penuh kebimbangan kerana ia memberi kesan langsung kepada keselamatan serta nyawa pengguna jalan raya lain,” katanya.
Jelas Hasbullah, JSPT kekal komited untuk memperkukuh penguatkuasaan, meningkatkan kecekapan siasatan serta memperhebat usaha advokasi keselamatan jalan raya, tetapi usaha menangani isu tersebut memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh, bukan sekadar bergantung kepada penguatkuasaan di lapangan semata-mata.
Usaha seumpama itu tambahnya, turut melibatkan peningkatan kesedaran, pemupukan rasa tanggungjawab serta penghayatan nilai moral dalam kalangan masyarakat.
“Sikap segelintir individu yang masih memandang remeh bahaya memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada berterusannya kes-kes ini.
“Penyelesaian paling berkesan bermula di peringkat akar umbi, iaitu melalui pembentukan disiplin diri dan standard peribadi yang tinggi dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Hasbullah menarik perhatian, sekatan jalan raya serta ujian saringan secara rawak kekal antara langkah paling berkesan dalam usaha mencegah dan mengesan kesalahan berkenaan.
“Operasi seperti ini bukan sahaja membolehkan pesalah dikenal pasti secara langsung, malah turut memberikan kesan pencegahan dari sudut psikologi kepada pengguna jalan raya lain.
“Kehadiran anggota penguat kuasa secara konsisten di lokasi berisiko tinggi, khususnya pada waktu malam dan hujung minggu, turut membantu meningkatkan tahap pematuhan terhadap undang-undang,” jelasnya.
Mengulas aspek siasatan dan pendakwaan, beliau berkata, tiada halangan besar dari segi perundangan atau prosedur, selain kerjasama erat dengan Jabatan Peguam Negara yang memastikan setiap kes dirujuk untuk pendakwaan diberi perhatian sewajarnya.
“Sokongan kukuh daripada pihak pendakwa membolehkan proses siasatan dan perundangan dilaksanakan dengan lebih lancar serta berkesan.
“Selain itu, operasi khas bersepadu bersama agensi lain akan terus dipergiatkan bagi memastikan penguatkuasaan yang lebih menyeluruh dan berimpak tinggi,” katanya.
Hasbullah memberitahu, kempen kesedaran akan dipertingkatkan dengan pendekatan yang lebih realistik dan berkesan bagi memberi impak mendalam kepada masyarakat.
Tambahnya, kerjasama strategik bersama organisasi media serta pertubuhan bukan kerajaan akan terus diperkasa bagi memperluas penyampaian mesej keselamatan jalan raya kepada orang ramai.
“Semua usaha ini dilaksanakan bagi melindungi pengguna jalan raya serta mengurangkan kadar kematian akibat tingkah laku pemandu yang cuai dan tidak bertanggungjawab,” katanya. - Getaran, 9 April 2026



