
KUALA LUMPUR - Siasatan awal mendapati bayi yang maut dalam nahas di Plaza Tol Bukit Kajang Sabtu lalu tidak diletakkan dalam kerusi keselamatan kanak-kanak.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, laporan awal tersebut diperoleh hasil semakan bersama pihak polis.
Menurut beliau, ia menyebabkan mangsa yang baru berusia 12 bulan terpelanting keluar ketika kenderaan dinaikinya dirempuh.
“Laporan awal kami berdasarkan semakan bersama pihak polis menunjukkan bahawa bayi tersebut, tidak diletakkan dalam kerusi keselamatan kanak-kanak ketika kemalangan berlaku.
“Akibatnya, bayi itu tercampak keluar dari kenderaan semasa kemalangan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran Terminal Bersepadu Gombak hari ini.

Jelas Loke, pendedahan laporan tersebut bukan bertujuan menyalahkan ibu bapa mangsa, tetapi untuk menyedarkan orang ramai berhubung kepentingan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak.
“Ramai yang merungut apabila diminta menyediakan kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan yang digunakan.
“Saya tidak membuat kesimpulan, tetapi sekurang-kurangnya kerusi keselamatan kanak-kanak menyediakan ciri keselamatan tambahan yang boleh menyelamatkan nyawa dan melindungi penumpang,” katanya.
Menyifatkan nahas terbabit sebagai satu tragedi, Loke memberi amaran, syarikat lori atau kenderaan berat lain perlu bertanggungjawab sepenuhnya dan memastikan kenderaan masing-masing berada dalam keadaan selamat.
“Bukan hanya selamat untuk ‘lepas’ semasa pemeriksaan sahaja, tetapi sentiasa dalam keadaan baik agar tidak mengancam nyawa pengguna jalan raya lain,” tegasnya.
Beliau menarik perhatian, ibu bapa juga perlu lebih cakna dengan kepentingan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak.
“Saya tahu ramai yang memikirkan tentang kos, tetapi ini melibatkan aspek keselamatan dan nyawa anak-anak kita.
“Penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak memang terbukti berupaya melindungi keselamatan mereka ketika menaiki kenderaan,” katanya.
Dalam nahas sekitar jam 11 pagi itu, tiga kenderaan terdiri daripada Nissan X-Trail milik Jabatan Kerja Raya (JKR), Honda City dan Proton X70 dirempuh sebuah lori tiga tan membawa barangan besi buruk.
Siasatan polis mengesahkan bahawa pemandu lori melompat keluar selepas mendakwa kenderaannya mengalami kegagalan brek, sebelum ia merempuh tiga kenderaan yang menuju ke plaza tol.
Pemandu lori berusia 42 tahun itu telah ditahan dan sedang disiasat kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian.
Siasatan juga mendapati lelaki terbabit memiliki beberapa saman trafik dan rekod jenayah berkaitan dadah sebelum ini, tetapi dilaporkan negatif dadah dan alkohol selepas kemalangan. - Getaran, 29 September 2025


