Nahas ragut nyawa 3 sekeluarga: Pemandu treler direman empat hari

LocalPolitics
3 Apr 2026 • 11:03 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian berhubung kemalangan yang meragut nyawa pemandu van dan pasangan suami isteri di Kilometer 212, Jalan Johor Bahru-Seremban pada petang Khamis.

JOHOR BAHRU - Pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan maut membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 212, Jalan Johor Bahru-Seremban berdekatan persimpangan Taman Golden Hill, Gemas Baharu, petang Khamis direman empat hari bermula Jumaat.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Mohd Jumazanzahir Chek Ismail ketika dihubungi berkata, perintah reman hingga Isnin terhadap lelaki berusia 28 tahun itu dikeluarkan Majistret Amalina Johar di Mahkamah Majistret Segamat pada Jumaat.

Beliau berkata, mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira 3.45 petang itu ialah pasangan suami isteri dan pemandu van.

"Si mati adalah pemandu yang juga abang kepada wanita daripada pasangan suami isteri itu manakala dua mangsa yang cedera ialah cucu kepada pemandu,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, kemalangan berlaku apabila treler dipandu seorang lelaki melanggar bahagian belakang sebuah van dinaiki kesemua mangsa.

Akibat pelanggaran itu, van berkenaan hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar bahagian hadapan sebuah lori.

Hasil saringan awal air kencing mendapati pemandu treler itu positif terhadap dadah jenis methamphetamine manakala kemalangan terbabit disiasat mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama