Khemah mercun terbakar: Dua lelaki direman empat hari

26 Mar 2026 • 1:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Dua lelaki direman empat hari bagi membantu siasatan insiden kebakaran khemah menjual mercun dan bunga api.

JOHOR BAHRU - Dua lelaki direman empat hari bagi membantu siasatan insiden kebakaran khemah menjual mercun dan bunga api di Jalan Bunga Ros, Kampung Dato’ Sulaiman Menteri di sini, Isnin lalu.

Majistret Chai Ing Hien membenarkan perintah reman terhadap kedua-dua lelaki berusia 30 hingga 35 selepas mendapat permohonan daripada pihak polis di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.

Ia bagi membolehkan polis menjalankan siasatan kes mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, media melaporkan sebuah khemah pasang siap menjual mercun dan bunga api terbakar dalam kejadian kira-kira jam 8.32 malam.

Kebakaran itu turut menyebabkan sebuah kereta jenis Proton Gen-2 dan sebuah ‘food truck’ yang diletak berhampiran khemah itu terbakar.

Susulan itu polis menahan dua lelaki di sebuah rumah di Kulai dan kawasan Kampung Melayu Majidee di sini kira-kira jam 11.15 pagi dan jam 12.30 tengah hari semalam.

Semakan mendapati salah seorang suspek memiliki lesen menjual, memiliki dan membeli mercun dan kebakaran berpunca daripada generator gerai menjual mercun itu terbakar.