Nahas Simpang Renggam: Pemandu direman 4 hari, siasatan di bawah seksyen 302

5 Jun 2026 • 11:24 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Nahas Simpang Renggam: Pemandu direman 4 hari, siasatan di bawah seksyen 302
Pemandu lelaki berusia 19 tahun yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan lima nyawa di Jalan Renggam-Simpang Renggam pada Isnin lepas, direman semula hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Foto: Bernama

KLUANG - Pemandu lelaki berusia 19 tahun yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan lima nyawa di Jalan Renggam-Simpang Renggam pada Isnin lepas, direman semula hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Remaja terbabit direman selama empat hari hingga Isnin depan selepas perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Hakim Mujib Saroji di Mahkamah Sesyen Kluang, di sini pagi ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Empat maut nahas lima kenderaan 

Lima maut, BMW hilang kawalan rempuh empat kenderaan

Nahas empat sekeluarga maut berpunca dua kereta mewah pandu laju, melulu - Polis

Terdahulu, suspek yang memakai baju berwarna coklat tiba di pekarangan mahkamah pada 8.45 pagi dengan diiringi ketat oleh pegawai polis.

Suspek sebelum ini dibebaskan dengan jaminan polis setelah direman tiga hari hingga semalam bagi siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Bagaimanapun, polis menahan semula suspek bagi membolehkan siasatan dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

Kemalangan pada 1 Jun lepas di Kilometer 27, Jalan Renggam-Simpang Renggam itu menyebabkan empat sekeluarga yang menaiki Toyota Vios termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.

Remaja itu disyaki memandu kereta Mercedes Benz A250 secara melulu dan berbahaya bersama-sama sebuah kereta BMW 530e dipandu abangnya berusia 22 tahun, yang turut maut ketika dalam perjalanan ke hospital. - Bernama