
KLUANG – Pemandu kereta jenis Mercedes-Benz yang dipercayai terlibat dalam kemalangan maut sehingga mengorbankan lima nyawa termasuk empat sekeluarga di Jalan Renggam–Simpang Renggam, Isnin lalu, direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan polis.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Mujib Saroji, bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap remaja lelaki berusia 19 tahun tersebut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, suspek yang juga adik kepada pemandu kereta BMW berusia 22 tahun yang turut maut dalam kemalangan berkenaan telah direman selama tiga hari bermula Selasa lalu untuk siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Bagaimanapun, selepas tempoh reman tamat semalam, remaja terbabit dibebaskan dengan jaminan polis sebelum ditahan semula dan dibawa ke Mahkamah Kluang pagi tadi bagi mendapatkan perintah reman baharu.
Disyaki Memandu Secara Melulu
Terdahulu, memetik laporan Kosmo!, dua beradik terbabit dipercayai memandu secara melulu pada hari kejadian sehingga menyebabkan kemalangan tragis tersebut.
Dalam insiden berkenaan, empat sekeluarga dari Terengganu yang menaiki sebuah kenderaan maut di lokasi kejadian dan akibat kecederaan yang dialami.
Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Mohd. Aiman Mohd. Rashid, 36, isterinya Nor Azlina Abd. Latif, 33, Semek Mat Soh, 75, serta Nur Airish Syifa Sidek, 10.
Turut maut ialah abang kepada suspek yang memandu kereta BMW apabila disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan parah.
Siasatan lanjut berhubung kes berkenaan masih diteruskan pihak polis. – The Malaysian Update
Sokong TMU
Jika anda menghargai usaha TMU dalam menyampaikan berita, maklumat dan isu semasa yang bermanfaat, anda boleh memberi sokongan secara sukarela.
Sokongan anda membantu kami terus menghasilkan laporan, artikel dan kandungan berkualiti untuk rakyat Malaysia.
The post Pemandu Mercedes-Benz Direman Empat Hari, Disiasat Bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan appeared first on The Malaysian Update.





