
KUALA LUMPUR - Suspek nahas maut di Simpang Renggam yang meragut lima nyawa kelmarin direman selama sehari lagi di Mahkamah Majistret Kluang hari ini.
Perintah sambung reman itu dikeluarkan oleh Hakim Mujib Saroji selepas tempoh tahanan dua hari suspek bagi siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berakhir hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata, pihaknya akan merujuk kertas siasatan kepada Pejabat Pendakwa Raya Negeri Johor (PPNJ) hari ini.
"Kami sedang menunggu arahan lanjut daripada PPNJ untuk tindakan seterusnya," katanya.
Terdahulu, suspek yang juga pelajar sebuah universiti di Singapura berusia 19 tahun itu tiba di Mahkamah Majistret Kluang pada jam 8.30 pagi dengan diiringi pihak polis.
Dia ditahan selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan lima buah kenderaan, yang turut meragut nyawa empat sekeluarga.
Menurut saksi, suspek bersama abangnya yang memandu BMW 530e dipercayai sedang berlumba, apabila BMW berkenaan hilang kawalan, sebelum merempuh Toyota Vios dinaiki empat sekeluarga tersebut.
Abang suspek yang berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Semalam, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat sebelum dibenarkan reman selama dua hari.
Tragedi yang berlaku sekitar jam 1.15 tengah hari Isnin lalu itu meragut nyawa Semek Mat Soh, 73, anak dan menantunya, Nor Azlina Abd Latip, 33, dan Aiman Mohd Rashid, 36, serta Nur Airish Syifa Sidek, 10.
Kesemua mangsa dilaporkan sedang dalam perjalanan dari Melaka untuk pulang ke Kota Tinggi ketika kejadian. – Getaran, 3 Jun 2026






