Nahas Tol Bukit Kajang: pemandu lori lompat keluar kenderaan selepas brek rosak

LocalCars
28 Sep 2025 • 6:27 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan maut melibatkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang semalam, direman dua hari bermula hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Naazron Abdul Yusof, pemandu lori berkenaan dilaporkan melompat keluar dari lori kerana kenderaan itu berdepan dengan masalah brek.

"Siasatan (awal) mendapati lori berkenaan kali terakhir diselenggara pada April lepas. Pemandu lori itu juga mendakwa melompat keluar dari lori kerana berdepan dengan masalah brek.

“Namun, siasatan masih diteruskan bagi memastikan sama ada benar kenderaan tersebut mengalami masalah brek. Lori itu akan dihantar untuk pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 10.50 pagi itu melibatkan sebuah lori, sebuah kereta, dan dua kenderaan utiliti sukan (SUV), telah mengakibatkan kematian seorang bayi lelaki berusia setahun dan mencederakan tujuh individu lain.

Dalam pada itu, Naazron memberitahu, setakat ini pihaknya telah merakam keterangan lima individu termasuk pemilik syarikat lori yang terlibat dalam kejadian terbabit.

Ketika kejadian, bayi yang meninggal dunia itu berada di dalam sebuah kereta bersama dengan ibu, nenek dan kembarnya.

“Semua ahli keluarga bayi itu telah dibenarkan keluar dari Hospital Serdang selepas menerima rawatan manakala mangsa lain yang menaiki dua kenderaan utiliti sukan masih menerima rawatan di Hospital Kajang dan sebuah hospital swasta di Kajang,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - 28 September, 2025

The post Nahas Tol Bukit Kajang: pemandu lori lompat keluar kenderaan selepas brek rosak appeared first on Scoop.