Nahas TUDM: Dua juruterbang pesawat Hornet selamat

21 Aug 2025 • 4:30 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

KUANTAN – Dua juruterbang yang terbabit dalam kemalangan pesawat pejuang F/A-18D Hornet di Pangkalan Udara Kuantan, malam tadi, disahkan selamat.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut.

“Setakat ini, kedua-dua juruterbang disahkan selamat. Polis masih menunggu laporan pemeriksaan daripada pasukan perubatan HTAA,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kemalangan itu berlaku ketika pesawat berkenaan hendak melakukan penerbangan dan lokasi nahas adalah di landasan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah.

“Insiden ini tidak membabitkan penempatan awam kerana ia berlaku dalam kawasan lapangan terbang,” jelasnya.

Terdahulu, Bahagian Perhubungan Awam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam kenyataan memaklumkan, pesawat itu mengalami kemalangan pada jam 9.05 malam tadi.

TUDM turut mengesahkan bahawa pesawat yang terbabit adalah jet pejuang F/A-18D Hornet.