Naico, Boeing bekerjasama bangunkan bakat baharu dalam industri aeroangkasa Malaysia

LocalTechnology
26 Aug 2025 • 12:23 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Naico, Boeing bekerjasama bangunkan bakat baharu dalam industri aeroangkasa Malaysia

image is not available

26/08/2025 - 12:23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Perbadanan Industri Aeroangkasa Nasional (Naico Malaysia) dan Boeing bekerjasama membangunkan bakat masa depan dalam industri aeroangkasa Malaysia menerusi Program MyAERO Northern Talent 2025, yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Program itu merupakan sebahagian daripada jelajah TVET dan STEM Aeroangkasa Kebangsaan anjuran Naico dan berjaya menghimpunkan lebih 1,000 pelajar, pendidik dan pemain industri bagi aktiviti seharian merangkumi pembelajaran secara langsung, pameran, forum industri, serta bengkel teknikal.

Antara program utama ialah lawatan pelajar ke Boeing Composites Malaysia (BCM) – fasiliti pembuatan milik penuh Boeing yang pertama di Asia Tenggara – di mana pelajar berpeluang menyaksikan sendiri proses pembuatan komposit bertaraf dunia dan berinteraksi dengan jurutera serta juruteknik Boeing.

Naico Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada Feiran Technology atas sumbangan dalam menyediakan penyelesaian teknologi canggih yang menyokong keperluan semasa dan masa depan industri aeroangkasa negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Naico Malaysia, Prof Ts Shamsul Kamar Abu Samah berkata, MyAERO Northern Talent merupakan pemangkin kepada aspirasi negara untuk menjadi hab aeroangkasa terkemuka di Asia Tenggara menjelang 2030.

image is not available

"Kerjasama berterusan dengan Boeing membuktikan betapa pentingnya kolaborasi strategik dalam membina barisan bakat masa depan yang kukuh dan bersedia," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menekankan potensi kerjasama dalam pembangunan teknologi penerbangan hijau seperti Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF), sejajar dengan usaha memperkukuh rantaian bekalan pembuatan aeroangkasa Malaysia di peringkat global.

Boeing, melalui BCM di Kedah, juga memainkan peranan penting dalam ekosistem bakat negara. Syarikat itu menyumbang kepada pembangunan kemahiran dengan menyediakan geran dan biasiswa, termasuk menaja latihan untuk 30 pelajar IKBN Jitra setiap tahun dalam bidang teknologi pemesinan dan fabrikasi — sekali gus membuka peluang pekerjaan dalam industri aeroangkasa.

Pengarah Urusan Boeing Composites Malaysia, Faisal Sraieldin berkata, pihaknya berbesar hati menyokong Naico Malaysia dalam merealisasikan visi Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 (MAIB 2030) untuk menjadikan Malaysia sebagai hab aeroangkasa terkemuka.

"Dengan kemudahan canggih dan pasukan berbakat kami di Kedah, kami yakin dapat terus memberi impak positif kepada pembangunan tenaga kerja Malaysia," katanya.

Program itu turut menampilkan forum industri bersama panel dari Boeing, UniKL MIAT, IKBN Jitra dan institusi lain. Aktiviti interaktif seperti e-Drone Race Challenge, Final MyAERO Workshop, dan lawatan berpandu ke fasiliti UUM turut mendapat sambutan hangat.

Siri Utara MyAERO itu adalah sebahagian daripada inisiatif kebangsaan Naico Malaysia untuk melibatkan lebih 15,000 pelajar di seluruh negara dalam pendedahan industri aeroangkasa secara menyeluruh. - DagangNews.com

standard