Naik LRT Ke Konsert TokTi, Syed Saddiq & Bella Astillah Curi Tumpuan Netizen

LocalEntertainment
11 Jan 2026 • 10:43 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Kehadiran Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq bersama Bella Astillah dan ahli keluarga mereka ke Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza di Stadium Nasional Bukit Jalil mencuri perhatian ramai apabila mereka dilihat menggunakan pengangkutan awam, LRT, seperti orang kebanyakan.

Perkara itu tular selepas seorang pengguna Threads, @natashaatika, berkongsi pengalaman “random” terserempak dengan Syed Saddiq dan Bella Astillah bersama keluarga ketika dalam perjalanan ke stadium.

“so random today terjumpa @syedsaddiq & @bellaastillah with their family in lrt otw to stadium bukit jalil to see tokti! image is not available” tulisnya.

Perkongsian tersebut nyata mencetuskan pelbagai reaksi positif dalam kalangan netizen yang rata-rata terhibur melihat kehadiran figura awam itu menaiki LRT. Ramai menyifatkan tindakan berkenaan sebagai gambaran pemimpin berjiwa rakyat, malah ada yang berseloroh mengatakan inilah versi sebenar “naik tren pergi konsert”.

Dalam masa sama, kehadiran Bella Astillah turut mencuri perhatian apabila ramai netizen menyedari raut wajahnya yang dikatakan mirip Datuk Seri Siti Nurhaliza ketika zaman muda. Tidak kurang juga yang terkejut dengan pertemuan secara tidak sengaja itu, apatah lagi membabitkan seorang Ahli Parlimen. Ada juga berpendapat keputusan mereka keluar lebih awal adalah langkah bijak bagi mengelakkan kesesakan luar biasa di LRT selepas konsert.

Sementara itu, satu lagi perkongsian di Group Bass Family oleh @nursherry88 turut meraih perhatian apabila memuat naik gambar keluarga Syed Saddiq bersama kapsyen penuh makna.

“Love the whole family time together image is not available

Finally a perfect family photo.

May Allah ease everything.”

Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi positif, dengan ramai netizen menyifatkannya sebagai momen kebersamaan keluarga yang cukup lengkap dan menyentuh hati, selain mendoakan agar segala urusan mereka dipermudahkan.

Dalam pada itu, Syed Saddiq sendiri berkongsi keterujaan ibunya menerusi hantaran rasmi di Threads.

“Mama tak kelip mata.

Idola sepanjang hayat dia, di atas pentas image is not available @ctdk

Thanks @bellaastillah for making this happen image is not available

Hantaran itu sekali lagi mengundang senyuman netizen apabila rata-rata terhibur melihat reaksi si ibu yang dikatakan tidak berganjak mata daripada pentas. Malah, ada yang berseloroh menyifatkannya sebagai “Sitizoner sejati”, selain memuji Bella Astillah kerana merealisasikan momen istimewa tersebut buat keluarga berkenaan.

Konsert Legacy 30: TokTi Gegarkan Bukit Jalil

Dalam perkembangan sama, media melaporkan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mencipta detik luar biasa apabila membuat kejutan dengan menyampaikan lagu Purnama Merindu dari atas sebuah kren pada Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza: Passion, Sincere and Love, malam tadi.

Kemunculan dramatik itu disambut sorakan histeria lebih 60,000 peminat yang memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Malam ini, saya berikan kasih sayang saya kepada anda dengan lagu-lagu yang mungkin anda pernah dengar ketika masih kecil,” kata Siti di hadapan lautan peminat.

Konsert bersejarah itu menjadi penanda tiga dekad perjalanan seni penyanyi nombor satu negara berkenaan, menyaksikan beliau mempersembahkan rangkaian lagu popular dari setiap era kerjayanya.

Aura luar biasa Siti Nurhaliza sekali lagi terbukti apabila kira-kira 65,000 peminat membanjiri stadium ikonik itu, menjadikan suasana penuh emosi dan tenaga luar biasa.

Pada dua segmen terakhir konsert, Siti mengajak penonton bangun dan menari bersama dalam suasana ‘joget lambak’, sekali gus mencetuskan sorakan dan tepukan gemuruh.

“Kalau ikut adat orang dahulu, apabila ada keraian dan keramaian, orang-orang akan berjoget lambak. Saya ajak semua yang hadir di sini untuk bangun dan joget lambak. Kita jadikan ini joget lambak terbesar. Silap-silap boleh masuk Malaysia Book of Records (MBOR),” katanya berseloroh.

Konsert yang berlangsung lebih tiga jam itu turut menyaksikan Siti mempersembahkan rangkaian lagu tradisional popular seperti Joget Menanti Kasih, Balqis, Ya Maulai serta Pandang Pandang Jeling Jeling.

Siti turut mendedikasikan lagu Cindai sebagai tanda mengenang jasa Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah atas sumbangan besar beliau dalam perjalanan seni penyanyi kesayangan ramai itu.

Tidak ketinggalan, Siti memaklumkan sebanyak RM1 juta daripada jualan tiket konsert disumbangkan kepada Yayasan Nurjiwa bagi membantu golongan memerlukan.

Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza: Passion, Sincere and Love yang dihoskan Muaz Mohamed itu bukan sahaja mengubat rindu peminat, malah membuktikan cinta rakyat Malaysia terhadap Biduanita Negara kekal utuh, merentas generasi. – The Malaysian Update

The post Naik LRT Ke Konsert TokTi, Syed Saddiq & Bella Astillah Curi Tumpuan Netizen appeared first on The Malaysian Update.