Naik taraf Jalan Berungis-Pekan Tuaran dalam proses

LocalPolitics
26 Aug 2025 • 4:19 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Tuaran: Projek menaik taraf Jalan Berungis–Pekan Tuaran bukan terbengkalai seperti yang didakwa, kata Adun Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya (gambar), sebaliknya sedang berjalan mengikut prosedur walaupun terdapat kelewatan.

Beliau berkata, beberapa kekangan teknikal dan pentadbiran menyebabkan kelewatan tersebut, tetapi menegaskan projek itu kekal aktif dan, sebaik siap, akan memanfaatkan ribuan pengguna jalan harian.

“Sebagai wakil rakyat, saya amat memahami keresahan penduduk yang berdepan kesesakan trafik di laluan itu sejak sekian lama, tetapi saya ingin tekankan projek ini sedang berjalan dan bukan tergendala,” katanya dalam kenyataan, Isnin.

Jasnih mendedahkan beliau sendiri melalui jalan itu pada hujung minggu lalu untuk meninjau perkembangannya, mengatakan kerja-kerja fizikal dapat dilihat dengan jelas, berbeza dengan dakwaan tiada aktiviti telah bermula.

“Mereka yang mengatakan projek ini tidak berjalan mungkin tidak perasan kerja menaik taraf sedang berjalan, termasuk persediaan pemindahan utiliti dan pembinaan struktur,” katanya.

Beliau menjawab kritikan Ketua Penyelaras Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Pantai Dalit, Jaesman Gipin, yang menyuarakan kebimbangan mengenai nasib ribuan pengguna jalan raya berkenaan. Jasnih turut berterima kasih kepada Jaesman kerana memberi ruang kepadanya menjelaskan status sebenar projek terbabit kepada masyarakat.

Menurut beliau, projek menaik taraf Jalan Berungis (Laluan 503) dari KM0.2 hingga KM2.9 sepanjang 2.7 kilometer itu merupakan sebahagian inisiatif Rolling Plan Kedua, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Projek ini melibatkan kerja menaik taraf jalan dua lorong sedia ada kepada jalan empat lorong dua hala, pembinaan sebuah jejambat pusingan-U serta jambatan baharu bagi menggantikan pembetung lama yang tidak lagi sesuai menampung trafik semakin meningkat.

“Ia dilaksanakan menggunakan kaedah reka dan bina, dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia sebagai agensi pelaksana utama dan JKR Negeri Sabah sebagai Pegawai Penguasa projek,” katanya.

Jasnih berkata, Surat Setuju Terima (SST) projek berkenaan telah dikeluarkan pada Mac 2024, manakala kerja reka bentuk terperinci siap sepenuhnya pada Disember tahun sama. Projek ini bermula secara rasmi pada 12 Mac 2024 dengan jadual asal untuk disiapkan dalam tempoh 36 bulan.

“Namun, disebabkan beberapa kekangan, projek ini diberi lanjutan masa (EOT No.1) dan kini dijangka siap sepenuhnya pada 31 Mac 2028,” katanya.

Jelasnya, antara punca kelewatan ialah proses pengambilan balik tanah yang memerlukan masa panjang.

“Pelan pengambilan tanah diserahkan kepada Jabatan Tanah dan Ukur Sabah pada 30 September 2024, manakala draf pengisytiharan warta dihantar ke Pejabat Peguam Besar Negeri pada 9 Oktober 2024 untuk proses lanjut.

“Selain itu, isu teknikal berkaitan pengalihan utiliti seperti tiang elektrik, kabel dan paip air juga memberi kesan kepada kelancaran kerja fizikal di tapak,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, walaupun prosedur agak kompleks dan melibatkan banyak agensi teknikal, projek berkenaan tetap diteruskan dan bukannya terbengkalai seperti yang dibimbangkan sesetengah pihak.

“Insha-Allah, kita akan terus pantau rapat perkembangan projek ini kerana kita juga mahu rasa tenang dan lancar apabila memandu di jalan ini. Jangan pula ada yang kata kami tidak payung Tuaran,” katanya sambil menegaskan komitmennya untuk memastikan masalah kesesakan itu dapat ditangani.

Beliau menambah bahawa isu kesesakan di laluan berkenaan adalah antara perkara awal yang dibincangkan serta diperjuangkan bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, selepas kerajaan baharu dibentuk.

“Malah, pada 2022 saya pernah umumkan bahawa masalah ini akan selesai tidak lama lagi selepas Ketua Menteri memaklumkan kepada saya bahawa projek jalan raya ini sudah dipersetujui.

“Ketika itu, kegembiraan saya terlalu besar hingga tidak sabar berkongsi dengan rakyat Tuaran, walaupun masih ada beberapa prosedur perlu dilalui sebelum ia benar-benar bermula,” katanya.

Jasnih berkata beliau kekal optimis dengan pelaksanaan projek berkenaan dan menyeru rakyat supaya bersabar kerana kerja menaik taraf jalan itu sedang dijalankan untuk kepentingan jangka panjang penduduk Tuaran.