Naik taraf Persiaran Mokhtar Dahari bermula pertengahan 2027 selepas pengalihan utiliti

29 Oct 2026 • 6:31 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Naik taraf Persiaran Mokhtar Dahari bermula pertengahan 2027 selepas pengalihan utiliti

SHAH ALAM, 29 OKT: Kerja naik taraf jangka sederhana di Persiaran Mokhtar Dahari (B49) dijangka bermula pertengahan tahun hadapan selepas urusan pengalihan utiliti di laluan berkenaan selesai.

EXCO Infrastruktur, Dato’ Ir Izham Hashim berkata kerja penambahbaikan bernilai RM3 juta itu dijangka siap pada tahun sama.

Menurutnya, antara kerja yang akan dilaksanakan termasuk menaik taraf persimpangan Alam Budiman, menambah lorong dari arah Puncak Alam ke Shah Alam serta menambah baik lampu isyarat, lampu jalan dan sistem perparitan.

“Kerja fizikal bermula tahun depan. Kenapa lambat... sebab ada aspek utiliti di bawah yang perlu dialihkan. (Jadi) Ambil masa biasa tiga bulan. Kalau cepat (alih), kerja kita boleh buat cepat.

"Kita sasar tahun hadapan siap dan kosnya RM3 juta untuk langkah sederhana,” katanya pada sidang media keselamatan dan penambahbaikan Persiaran Mokhtar Dahari (B49) yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Ir Shukri Ishak.

Image from: Naik taraf Persiaran Mokhtar Dahari bermula pertengahan 2027 selepas pengalihan utiliti
EXCO Infrastruktur Dato' Ir Izham Hashim ketika sidang media berkenaan keselamatan dan penambahbaikan Persiaran Mokhtar Dahari di Pejabat EXCO, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 29 Oktober 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Bagi penyelesaian jangka panjang, Izham berkata Kerajaan Negeri turut merancang pembinaan jejambat dari Persiaran Jalan Paip ke Persiaran Mokhtar Dahari bagi melancarkan aliran trafik.

Menurutnya, sejumlah RM128 juta diperuntukkan menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2) bagi projek yang dijadual mengambil masa tiga tahun bermula 2027.

“Jajaran sepanjang lima kilometer juga juga akan dibina sehingga persimpangan GreenHill dan menjadikan semua jalan kepada empat lorong.

“Ada cadangan pembinaan laluan bertingkat sepenuhnya di sini tetapi kosnya RM1bilion… tiada kemampuan, kosnya tinggi tetapi kita akan lihat naik taraf ini supaya dapat kurangkan kesesakan dan keselamatan pengguna,” katanya.

Beliau berkata pemaju kawasan perumahan Greenhill turut diarahkan menyediakan lorong tambahan bagi mengurangkan kesesakan dan memastikan kelancaran trafik di laluan berkenaan.

“Syarat pembangunan ditetapkan kepada pemaju supaya menyediakan lorong tambahan trafik terus ke Shah Alam di persimpangan Persiaran Pulau Lumut-B49, Alam Budiman serta Puncak Alam di persimpangan Greenhill Residence,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Izham mendedahkan 88 peratus kenderaan yang melalui Persiaran Mokhtar Dahari didapati melanggar had laju 60 kilometer sejam (km/j) berdasarkan Kajian Keselamatan Jalan Raya, khususnya di luar waktu puncak.

Image from: Naik taraf Persiaran Mokhtar Dahari bermula pertengahan 2027 selepas pengalihan utiliti
EXCO Infrastruktur Dato' Ir Izham Hashim (kiri) dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor Ir Shukri Ishak (kanan) memberikan penerangan pada sidang media berkenaan keselamatan dan penambahbaikan Persiaran Mokhtar Dahari di Pejabat EXCO, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 29 Oktober 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata sembilan kemalangan termasuk satu kematian direkodkan di laluan itu antara Mac hingga Oktober tahun ini.

“Daripada kajian 73 peratus pemandu kereta memandu melebihi had laju, motosikal (15 peratus) dan lori (12 peratus). Ini bacaan dan menunjukkan sebahagian besar pemandu tidak patuhi kelajuan ditetapkan.

“(Kira-kira) 88 peratus kenderaan daripada jumlah kenderaan lalu di sini melanggar had laju ketika luar waktu puncak. Kalau waktu puncak memang tidak boleh (laju) sebab sesak. Saya harap pengguna mematuhi segala papan tanda diletakkan,” katanya.

Untuk rekod, laluan berkenaan menerima purata 80,300 kenderaan sehari pada hari bekerja berbanding 64,000 kenderaan pada hujung minggu.

Pada 9 Oktober lalu, kemalangan membabitkan sebuah lori 10 tan dan 11 kereta berlaku di persimpangan lampu isyarat Alam Budiman.

Susulan kejadian, polis mengesahkan pemandu lori berusia 51 tahun itu positif dadah jenis amfetamin dan metamfetamin berdasarkan ujian saringan air kencing.

Sebagai langkah penambahbaikan sebelum ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM4.2 juta bagi kerja di kawasan berkenaan sepanjang 2023 hingga 2025, termasuk pembinaan lorong tambahan sementara dan pemasangan lampu jalan baharu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved