
PENAMPANG: Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick menyeru semua Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di daerah ini supaya bersatu dan bekerjasama menjayakan Pelan Induk Pembangunan Penampang 2024–2035.
Ewon, yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata kerjasama erat semua pihak, khususnya Pengerusi JKKK amat penting bagi memastikan agenda pembangunan di setiap kampung dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Dalam tempoh lebih tiga tahun, pelbagai projek pembangunan telah dan sedang dilaksanakan di Penampang. Antaranya projek tebatan banjir, pemasangan paip dan penyaluran bekalan air dari Stesen Kampung Madsiang ke SMK Kipouvo, pembinaan Jambatan Timpango Babagon yang telah siap serta Program Khas Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (Pantas) di Kampung Togudon yang juga telah siap.
“Kita juga merancang untuk memperluaskan Program Pantas ke beberapa kampung lain khususnya di kawasan berkecerunan tinggi. Selain itu, projek menaik taraf Tamu Donggongon yang sebelum ini tertangguh kini hampir siap dan dijangka dapat digunakan sepenuhnya tahun ini,” katanya.
Ahli Parlimen Penampang itu berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyampaian Watikah Pengerusi JKKK Parlimen Penampang melibatkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Moyog dan Kapayan di Dewan Kampung Pagansakan Inobong, di sini, Jumaat.
Pada majlis itu, Ewon turut mengumumkan geran pentadbiran RM2,000 kepada setiap badan JKKK di kawasan Parlimen Penampang bagi membantu melancarkan urusan pentadbiran serta pelaksanaan aktiviti di peringkat kampung.
Menurut beliau, kejayaan Pelan Induk Pembangunan Penampang 2024–2035 memerlukan sokongan semua pemimpin di daerah itu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Moyog Datuk Donald Peter Mojuntin dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Ewon berkata selain memberi perhatian kepada projek-projek pembangunan berskala besar, beliau turut menumpukan usaha melaksanakan projek-projek kecil yang diperlukan oleh badan JKKK dan komuniti kampung.
Katanya, antara projek yang telah siap ialah kerja-kerja membaik pulih Dewan Kampung Pagansakan Inobong yang sebelum ini mengalami kerosakan akibat banjir sehingga menjejaskan lantai dan sebahagian struktur bangunan.
“Dengan siapnya kerja-kerja membaik pulih ini, saya berharap lebih ramai penduduk kampung dapat kembali menggunakan dewan ini untuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan,” katanya.
Pada majlis itu, seramai 75 Pengerusi JKKK menerima watikah pelantikan, masing-masing 60 dari Moyog dan 15 dari Kapayan.
Turut hadir Ceasar; Donald yang juga Pengerusi Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah serta Presiden Majlis Perbandaran Penampang, Noemi Dyena John Tren.

