Naik tren, suara telefon jangan satu gerabak dengar

23 Jul 2026 • 7:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Naik tren, suara telefon jangan satu gerabak dengar
Kalau mahu menonton video, pakailah fon telinga. Kalau tak bawa, perlahankan suara atau tunggu sehingga tiba di destinasi. Bukannya susah sangat pun. Foto hiasan

MERAK JALANAN kadangkala tak perlu buka telefon untuk tahu video apa yang sedang tular. Cukup dengan naik tren sebab pasti ada penumpang yang pasang video dengan kuat.

Bunyinya bukan setakat didengar penumpang sebelah, malah boleh sampai ke hujung gerabak. Ada lagu, video lucu, permainan dan perbualan telefon yang dikongsi tanpa diminta.

Pemilik telefon pula kelihatan tenang sahaja, seolah-olah sedang duduk di ruang tamu rumah sendiri. Penumpang lain pula mula menjeling sambil harap bunyi itu diperlahankan.

Mungkin ada yang baru habis kerja dan mahu berehat. Ada yang mahu membaca, tidur sekejap atau menenangkan anak kecil sepanjang perjalanan.

Namun, semua itu terganggu hanya sebab ada individu yang terlupa bahawa tren dan bas ialah ruang awam, bukannya tempat untuk membuat hal sendiri tanpa fikirkan orang lain.

Merak Jalanan bukan mahu halang sesiapa menonton video, mendengar lagu atau membuat panggilan. Buatlah apa pun, asalkan tidak ganggu ketenangan penumpang lain.

Kalau mahu menonton video, pakailah fon telinga. Kalau tak bawa, perlahankan suara atau tunggu sehingga tiba di destinasi. Bukannya susah sangat pun.

Begitu juga ketika menjawab panggilan. Tak perlulah bercakap sampai satu gerabak tahu cerita pejabat atau masalah keluarga anda.

Jangan tunggu orang lain tegur baru nak perlahankan bunyi. Lebih buruk jika teguran yang dibuat dengan baik dibalas dengan kata-kata kasar.

Perkara ini mungkin nampak kecil, tetapi perjalanan yang sepatutnya tenang boleh jadi meletihkan kerana bunyi daripada sebuah telefon.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved