Datuk Seri Najib Razak dibenarkan menjalani tahanan rumah di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, bersama ahli keluarga yang terdiri daripada isteri, anak, menantu dan cucu, tertakluk kepada kebenaran bertulis.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu merupakan antara syarat yang ditetapkan oleh Lembaga Pengampunan selepas bekas Perdana Menteri itu menerima Perintah Pengampunan Bersyarat.
Advertisement
Menurut beliau, terdapat empat perkara utama dalam syarat yang ditetapkan iaitu sekatan tempat tinggal dan pergaulan, kawalan pergerakan dan lawatan, sekatan penggunaan telefon serta alat telekomunikasi dan kewajipan menghadiri program pemulihan serta intervensi.
Najib Mohon Lokasi Kedua Untuk Tahanan Rumah
Dalam perkembangan sama, Saifuddin mendedahkan Najib pernah mengemukakan permohonan bertulis untuk menjadikan sebuah lagi kediaman sebagai lokasi kedua bagi menjalani tahanan rumah.
Bagaimanapun, permohonan tersebut tidak diluluskan.
Saifuddin berkata, permohonan itu dibuat bagi mewartakan sebuah lagi kediaman sebagai lokasi tahanan rumah Najib, namun lokasi berkenaan tidak menjadi sebahagian daripada lokasi yang dibenarkan.
Beliau berkata, keputusan Lembaga Pengampunan menyatakan dengan jelas lokasi tahanan Najib di Nombor 11, Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur.
Najib Tidak Boleh Keluar Rumah Tanpa Kebenaran Bertulis
Sehubungan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggunakan kuasa Menteri Dalam Negeri melalui Seksyen 3, Akta Kementerian Dalam Negeri untuk mewartakan premis berkenaan.
Saifuddin berkata, Najib tidak dibenarkan berpindah ke rumah, bangunan atau premis lain serta tidak boleh keluar dari alamat tersebut tanpa kebenaran bertulis.
“Di situ juga disebut, tak dibenarkan berpindah ke rumah lain, bangunan lain atau premis lain. Tak dibenarkan keluar daripada alamat itu melainkan dengan izin bertulis. Misalnya, (beliau) mahu pergi sembahyang Jumaat, kita akan bawa.”
Beliau berkata, Jabatan Penjara turut dibenarkan mengenakan syarat-syarat berkaitan kawalan dan seliaan serta arahan dan tatacara sepanjang tempoh tahanan rumah.
(TERKINI) Mahkamah Tinggi Perintah Najib Jalani Tahanan Di Rumah, Berkuat Kuasa Serta-Merta
“Itu bahagian pertama yang didatangkan dengan surat Lembaga Pengampunan. Kemudian (Jabatan) Penjara juga dibenarkan mengenakan syarat-syarat untuk menyediakan kawalan dan selian, juga arahan dan taracara.
“Semua itu sudah dibaca kepada Datuk Seri Najib Razak sebelum dipindahkan daripada penjara ke Jalan Langgak Duta,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Hanya Ahli Keluarga Tertentu Dibenarkan Tinggal Bersama
Dalam pada itu, Saifuddin menjelaskan bahawa Najib hanya dibenarkan tinggal bersama ahli keluarga yang telah ditetapkan dalam syarat Lembaga Pengampunan.
Mereka terdiri daripada isteri, anak, menantu dan cucu.
“Tak dibenarkan tinggal bersama seseorang yang lain selain daripada ahli keluarga kamu, terdiri isteri-isteri, anak-anak, menantu, cucu kecuali dengan kebenaran bertulis terlebih dahulu. Lembaga Pengampunan tulis siapa yang boleh tinggal (bersama Najib),” katanya.
Najib juga tidak dibenarkan menerima tetamu kecuali mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu.
Sekatan Telefon, Media Sosial Dan Aktiviti Politik
Antara syarat lain yang dikenakan ialah sekatan terhadap penggunaan telefon dan alat telekomunikasi.
Menurut Saifuddin, Najib hanya dibenarkan menggunakan peranti yang didaftarkan oleh Jabatan Penjara bagi tujuan mengesahkan keberadaannya di rumah apabila dihubungi.
Selain itu, beliau tidak dibenarkan membuat kenyataan atau ulasan kepada media mahupun melibatkan diri dalam sebarang liputan media dan platform media sosial.
“Tidak boleh juga menyebabkan atau mendedahkan diri dalam mana-mana liputan media atau platfom media sosial. Tak boleh buat sebarang kenyataan atau ulasan dalam mana-mana liputan media.
“Tak boleh juga melibatkan diri dalam mana-mana majlis keramaian, jauh sekali untuk melibatkan diri dalam aktiviti politik. Hal-hal ini merupakan syarat-syarat dalam Lembaga Pengampunan,” katanya.
Saifuddin berkata, syarat-syarat berkenaan bukan hanya disediakan khusus untuk Najib, sebaliknya turut menjadi persiapan bagi menghadapi sebarang kes sama pada masa akan datang.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

‘Jabatan Penjara Malaysia – Cawangan Duta’ Muncul Di Google Maps, Dikaitkan Dengan Isu Tahanan Rumah Najib
The post Najib Boleh Tinggal Bersama Isteri & Anak Menantu, Pernah Mohon Satu Lagi Kediaman Namun Ditolak – Saifuddin Nasution first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.



![[INFOGRAFIK] Tahanan rumah: Najib dibenarkan tinggal bersama keluarga](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2026/11/12/3707917.webp)

