Bayaran pencen bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disahkan telah dihentikan susulan beliau dituduh, disabitkan kesalahan dan sedang menjalani hukuman.
Pencen sah sudah dihentikan
Memetik laporan daripada Sinar Harian, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan, bagaimanapun, Najib masih layak menikmati kemudahan lain berdasarkan peruntukan undang-undang dan pekeliling berkaitan.
“Buat masa sekarang, saya boleh sahkan bahawa bayaran pencen itu dihentikan.
“Kemudahan lain, mengikut Perlembagaan Persekutuan, mengikut pekeliling Jemaah Menteri dan mengikut Akta Saraan Parlimen, masih lagi dapat,” katanya ketika sidang Parlimen pada Khamis.

Foto: NST
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat berhubung layanan terhadap banduan Jabatan Penjara serta kos tambahan pelaksanaan tahanan rumah.
Terdahulu, Najib diperintah menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah di Langgak Duta berkuat kuasa serta-merta.
Perkembangan itu menyusul selepas Mahkamah Tinggi pada Selasa membatalkan perintah pelepasan yang dikeluarkan pada Jumaat lalu sebelum menggantikannya dengan perintah pelepasan baharu terhadap bekas Presiden UMNO berkenaan.
Hakim, Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengkaji semula perintah pelepasan yang dikeluarkan pada 6 November lalu.

Foto: Kosmo!
Dalam pada itu, Saifuddin turut menjelaskan bahawa tiga pegawai penjara ditempatkan di kediaman Najib di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur bagi melaksanakan pemantauan tahanan rumah.
” Jadi di rumah tiga orang satu syif. Kita juga ada polis mengawasi secara omnipresent dan secara statik.
” Yang itu, kita cuma atur tugas sahajalah. Kalau dulu dia bertugas di Kajang, sekarang dia bertugas di situ.
” Jadi, tak ada kos tambahan. Adapun kehidupan di rumah, saya tak boleh nak ulas dulu buat masa ini, baru dua, tiga hari,” ujarnya.
Sumber: Sinar Harian (Roskhoirah Yahya)






