Najib Dibenar Kembali Ke Penjara, Kesihatan Semakin Baik

LocalPolitics
23 Sep 2022 • 6:24 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Jurucakap HRC menerusi kenyataan memaklumkan, tahap kesihatan mantan Perdana Menteri itu berada dalam keadaan baik - Gambar Fail

KUALA LUMPUR - Pakar perunding perubatan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) memberi pelepasan perubatan dan membenarkan Datuk Seri Najib Razak dihantar semula ke Penjara Kajang.

Jurucakap HRC menerusi kenyataan memaklumkan, tahap kesihatan mantan Perdana Menteri itu berada dalam keadaan baik.

Katanya, Najib menjalani beberapa pemeriksaan dan rawatan rehabilitasi sepanjang keberadaan beliau di HRC.

“Beliau juga diberikan tunjuk ajar oleh Jurupulih Perubatan Fisioterapi HRC dan boleh menjalankan latihan teknik senaman secara kendiri.

“Pakar perunding yang berkaitan juga mengadakan sidang keluarga bersama Najib dan ahli keluarga terdekat, di mana mereka sudah dimaklumkan situasi terkini keadaan kesihatan serta pelan pemantauan kesihatan beliau,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, HRC akan terus komited dan telus dalam memberi perkhidmatan bagi memastikan pesakit dirawat dapat mencapai tahap potensi optimum dan kefungsian maksimum.

Semalam, Jabatan Penjara mengesahkan Najib dihantar ke HRC untuk rawatan dan pemantauan lanjut sejak Isnin lalu, berdasarkan rujukan HKL.

Menurut kenyataan jabatan itu, Najib akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman sebaik sahaja pakar perubatan HRC atau HKL memberikan pelepasan perubatan ke atasnya.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan dakwaan tersebar di media sosial bahawa Najib, yang dirujuk sebagai ‘Merpati’ dalam mesej tanpa nama, diberikan akses ke dunia luar dan menerima layanan istimewa semasa berada di penjara.

Najib dihantar ke HKL untuk rawatan oleh pakar perubatan susulan perintah Mahkamah Tinggi pada 12 September lalu, selepas keadaan kesihatannya tidak memuaskan.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kementerian itu tidak akan mendedahkan maklumat terperinci mengenai keadaan kesihatan Najib, melainkan diarah mahkamah untuk mengemukakannya.

Katanya, kementerian itu bertanggungjawab mematuhi tata etika kerahsiaan pesakit di bawah Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).

Ahli Parlimen Pekan itu memulakan hukumannya bulan lalu di Penjara Kajang, selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan ke atasnya terhadap kesemua tujuh pertuduhan dalam kes rasuah RM42 juta berkaitan SRC International Sdn Bhd. - Getaran, 23 September 2022