
TIDAK pernah terlintas dalam fikiran Muhammad Najib Nazri, 23, untuk menyambung pelajaran dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), namun kini dia bertugas sebagai juruteknik elektrik di sebuah syarikat kontraktor elektrik di Puchong, Selangor.
Selepas tamat belajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Najib tercari-cari hala tuju masa depannya, dan ketika itulah abang iparnya menyarankan dia mengambil jurusan TVET dalam bidang elektrik.
“Abang ipar saya sudah lama berkecimpung dalam bidang ini, dia yang menerangkan laluan kerjaya serta masa hadapan yang menanti pelajar kursus elektrik.
“Tertarik dengan saranan itu, saya mengambil sijil selama dua tahun di Institut Latihan Perindustrian Bukit Katil, Melaka dan selepas itu menyambung Diploma Kompetensi Elektrik (Pengagihan) di Institut Kemahiran Mara Jasin atau kini dikenali sebagai TVET Mara Jasin.
“Di sini menjadi titik tolak tumbuhnya minat dalam bidang elektrik. Saya nampak jelas masa depan yang diimpikan,” ceritanya yang berasal dari Segamat, Johor itu.
Mengulas lanjut mengenai pekerjaannya sekarang, Najib berkata, dia sangat seronok bekerja dalam bidang elektrik, bahkan kerjaya itu menjadi hobinya kerana kebanyakan masa dihabiskan dengan kerja berkenaan.
“Sebelum ini, saya membuat latihan industri di syarikat ini. Selepas melihat potensi serta kebolehan saya, mereka tawarkan saya bekerja di sini.
“Selama sebulan lebih bertugas di sini, antara skop kerja saya adalah menjalankan kerja-kerja berkaitan penyelenggaraan, servis serta membuat pemasangan kabel overhead dan kabel-kabel bawah tanah.
“Setiap hari, lokasi saya bekerja berbeza-beza, ada di dalam Selangor dan di luar kawasan Lembah Klang,” ujar anak ketiga daripada lima beradik itu.

Bercerita mengenai pengalaman yang tidak boleh dilupakan sepanjang bekerja sebagai juruteknik elektrik, Najib berkata, antara yang tidak boleh dilupakan adalah berpeluang bertugas di tempat-tempat orang awam tidak boleh masuk.
“Sebagai contoh, bertugas sebagai juruteknik di belakang tabir untuk acara konsert atau rancangan televisyen dan tempat-tempat yang berbahaya seperti pencawang elektrik di lapangan terbang.
“Di acara konsert, saya dan pasukan seramai empat orang bertugas untuk menjaga penjana elektrik atau generator.
“Generator ini penting untuk membekalkan tenaga elektrik besar untuk konsert-konsert.
“Ini kerana, tenaga elektrik di bangunan tidak mampu menampung janaan tinggi untuk lampu tambahan, pendingin hawa, sistem dan sebagainya,” ujarnya yang memasang impian membuka syarikat kontraktor elektrik.
Dalam pada itu, Najib berkata, mereka yang bekerja dalam bidang elektrik sangat mementingkan lesen kompetensi untuk mendaki tangga kerjaya lebih tinggi.
“Bidang ini banyak peluang pekerjaan dan luas skop tugas tetapi persaingannya agak sengit.
“Jadi, kita perlu naik taraf sijil-sijil kompetensi untuk meletakkan diri kita di depan dan menjadi pilihan majikan.
“Saya kini sudah ada Sijil Penjaga Jentera Elektrik Kategori A1 atau chargeman A1 dan sasaran seterusnya adalah A4.
“Setiap sijil menawarkan skop tugas berbeza, semakin tinggi sijil semakin bahaya dan gaji makin tinggi.
“Pengalaman dan sjiil ini sangat penting untuk kami menjadi pilihan majikan serta berada di tahap tertinggi dalam kerjaya,” jelasnya
Sehubungan itu, Najib menasihatkan anak muda yang sedang belajar dalam bidang TVET agar sentiasa menaik taraf ilmu dan sijil sehingga ke peringkat tertinggi untuk menjamin masa hadapan lebih baik.
The post Najib graduan TVET seronok kerja di belakang tabir konsert appeared first on Kosmo Digital.

