
KOTA KINABALU: Technology Depository Agency Bhd (TDA) melaksanakan dua inisiatif di bawah Projek Pencawang Masuk Utama (PMU) Beaufort bagi memperkukuh pembangunan kemahiran dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta tenaga boleh baharu di Sabah.
Inisiatif tersebut melibatkan sumbangan peralatan elektrik bagi tujuan pengajaran dan penyelidikan, selain penubuhan Pusat Latihan dan Penyelidikan Tenaga Boleh Baharu di Politeknik Kota Kinabalu.
Inisiatif ini dilaksanakan di bawah Program Kolaborasi Industri (ICP) Kementerian Kewangan yang dipantau oleh TDA bagi menyokong pemindahan teknologi, pembangunan bakat serta pengukuhan keupayaan industri tempatan menerusi projek perolehan kerajaan yang terpilih.
Pengerusi TDA, Tan Sri Liew Yun Fah berkata, program berkenaan membuktikan bahawa perolehan strategik kerajaan mampu menjana manfaat yang lebih meluas, melangkaui pembangunan infrastruktur semata-mata.
“Program Kolaborasi Industri memastikan setiap perolehan strategik kerajaan menjana nilai mampan kepada negara menerusi pemindahan teknologi, pembangunan bakat dan perkongsian ilmu.
“Melalui kerjasama yang lebih kukuh antara kerajaan, industri dan institusi akademik, ICP menyumbang kepada pembentukan tenaga kerja tempatan yang berdaya saing serta berkeupayaan menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi bernilai tinggi dan dipacu teknologi,” katanya.
Inisiatif berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), penyedia ICP Unimekar Sdn. Bhd., Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Politeknik Kota Kinabalu.
Di bawah program itu, alat suis dan alatubah akan disediakan kepada UMS dan Politeknik Kota Kinabalu bagi tujuan pengajaran dan penyelidikan.
Peralatan tersebut akan diubah suai menjadi model latihan bagi membantu pelajar memahami komponen dalaman, prinsip kejuruteraan serta fungsi pengoperasian sistem elektrik voltan tinggi menerusi pembelajaran secara praktikal.
Kerjasama itu turut merangkumi pembangunan modul latihan oleh golongan profesional dalam bidang kejuruteraan dan institusi akademik bagi melengkapkan graduan dengan kemahiran yang memenuhi keperluan industri.
Program itu juga merangkumi penubuhan Pusat Latihan dan Penyelidikan Tenaga Boleh Baharu di Politeknik Kota Kinabalu dengan pelaburan berjumlah RM156,000.
Pusat itu bakal menjadi kemudahan pertama di Sabah yang menawarkan Pensijilan Reka Bentuk Sistem Off Grid Photovoltaic (OGPV) yang diiktiraf oleh Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia dan Suruhanjaya Tenaga Sabah.
Kemudahan itu dijangka mampu menampung kira-kira 30 peserta bagi setiap sesi latihan, melibatkan pelajar, pensyarah dan pengamal industri, di samping menyokong program pensijilan profesional, penyelidikan tenaga boleh baharu, peningkatan kemahiran berterusan serta program peningkatan kemahiran serta latihan semula bagi sektor tenaga.
Projek ICP PMU Beaufort menyokong usaha memperkukuh pembangunan bakat tempatan, pemindahan teknologi dan penyertaan industri menerusi projek perolehan kerajaan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI. – UTUSAN
The post TDA perkukuh pembangunan bakat TVET, Tenaga Boleh Baharu di Sabah appeared first on Utusan Malaysia.






