Najib keluar Penjara Kajang menaiki Proton X70

LocalPolitics
6 Nov 2026 • 2:50 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Najib keluar Penjara Kajang menaiki Proton X70

KAJANG: Datuk Seri Najib Razak dilihat keluar dari Penjara Kajang kira-kira pukul 2.37 petang sebentar tadi dengan menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 berwarna perak.

Kenderaan yang membawa bekas Perdana Menteri itu meninggalkan kawasan penjara dengan kawalan beberapa kenderaan pengiring serta sebuah van Jabatan Penjara.

Bagaimanapun, buat masa ini, destinasi Najib selepas meninggalkan Penjara Kajang masih belum dapat disahkan sama ada beliau dibawa ke kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, yang sebelum ini dikaitkan dengan pelaksanaan tahanan rumahnya.

Terdahulu, peguam Najib, Muhammad Farhan Shafee memasuki kawasan Penjara Kajang kira-kira pukul 2.15 petang dengan menaiki sebuah kereta Audi berwarna putih.

Kehadiran beliau menyusuli perkembangan bahawa Najib selesai menjelaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, tengah hari tadi.

Muhammad Farhan sebelum itu memaklumkan pihaknya sedang menunggu surat perintah pembebasan tahanan yang akan diserahkan kepada Jabatan Penjara Malaysia.

Pembayaran denda itu merupakan antara syarat pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Najib, 73, mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya dan mengekalkan sabitan serta hukuman terhadap tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta. -UTUSAN

The post Najib keluar Penjara Kajang menaiki Proton X70 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved