KUALA LUMPUR - Permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda bagi kesalahan membabitkan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan didengar pada 14 Oktober ini.
Hakim Mahkamah Tinggi, Noor Ruwena Md Nurdin menetapkan tarikh berkenaan ketika prosiding pengurusan kes hari ini.
Menurut beliau, permohonan itu sudah difailkan dan ditetapkan untuk didengar di hadapannya selepas dikemukakan bersama Sijil Keperluan Segera (Certificate of Urgency).
“Permohonan itu sudah difailkan dan ditugaskan kepada saya. Ia difailkan bersama Sijil Keperluan Segera.
“Oleh itu, saya menetapkan tarikh dalam tempoh dua minggu. Pihak-pihak boleh bertukar hujahan balas pada bila-bila masa dalam tempoh itu sebelum pendengaran,” katanya.
Pada 26 Disember 2025, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap Najib serta denda berjumlah RM11,387,888,067.05 bagi kesemua 25 pertuduhan berkaitan penyelewengan dana 1MDB.
Kegagalan membayar denda itu boleh menyebabkan Najib dikenakan tambahan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara berkenaan dijalankan secara berturut-turut dan hanya bermula selepas beliau selesai menjalani hukuman penjara bagi kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.
Dalam prosiding hari ini, Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Muhamad Farhan Shafee, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam.
Sementara itu, anak perempuan Najib, Nooryana Najwa, dilihat tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira jam 9.50 pagi bersama dua anak lelakinya.
Isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, turut tiba di kompleks mahkamah kira-kira jam 10.30 pagi.
Ketika ditanya pemberita bilakah denda RM50 juta, salah satu syarat pengampunan bersyarat terhadap bapanya akan dibayar, Nooryana Najwa hanya tersenyum sebelum menjawab ringkas, “Saya tidak tahu.”
Beliau turut ditanya sama ada jumlah RM50 juta yang ditetapkan dalam pengampunan itu mencukupi, namun tidak memberikan sebarang reaksi lanjut. - Getaran, 25 September 2026





