Najib Pulang Ke Rumah, Anthony Loke Letak Jawatan Menteri Pengangkutan

LocalPolitics
10 Nov 2026 • 6:31 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Najib Pulang Ke Rumah, Anthony Loke Letak Jawatan Menteri Pengangkutan

KUALA LUMPUR - Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya menerusi tahanan di rumah.

Katanya, tindakan itu juga selaras dengan pendirian yang telah dinyatakannya Jumaat lalu.

“Susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukumannya menerusi tahanan di rumah, serta selaras dengan pendirian yang saya nyatakan Jumaat lalu, peletakan jawatan saya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta.

“Keputusan ini dibuat bagi mempertahankan prinsip dan pendirian yang telah saya tegaskan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Setiausaha Agung DAP itu turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan dan mandat diberikan kepadanya untuk menganggotai Jemaah Menteri sejak Disember 2022.

Beliau turut memberi jaminan akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan proses peralihan tugas berjalan lancar, selain memastikan segala tanggungjawab serta inisiatif kementerian terus dilaksanakan demi kepentingan rakyat.

“Saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan urusan penyerahan tugas berjalan lancar, selain menjamin segala tanggungjawab dan inisiatif kementerian dapat diteruskan demi kepentingan rakyat,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun bagi kesalahan membabitkan SRC International menerusi tahanan di rumah di kediamannya di Taman Duta sehingga 23 Ogos 2028.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin dalam keputusannya mengetepikan perintah pada 6 November lalu yang membenarkan Najib dilepaskan daripada tahanan penjara selepas membayar denda, sebelum menggantikannya dengan perintah membolehkan beliau menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah.

Aslam berkata, Najib perlu menjalani baki hukuman yang telah dikurangkan di kediamannya di No. 11, Jalan Langgak Duta, selaras dengan pengampunan diraja bersyarat yang diperkenankan pada 18 September lalu. - Getaran, 10 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved