
PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan pembangkang yang keluar dari Dewan Rakyat ketika sesi khas membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH), hari ini.
Anwar berkata, tindakan berkenaan seolah-olah menunjukkan pembangkang lebih berminat membangkitkan isu berkaitan dirinya berbanding mengambil tahu mengenai kepentingan jutaan pendeposit Tabung Haji.
“Nak bahas tentang saya, atau nak bahas tentang Tabung Haji? Nak ambil tahu tentang saya, atau nak ambil tahu tentang pengkhianatan terhadap Tabung Haji?
“Orang Melayu Islam telah dikhianati, tapi masih ada yang mahu main drama politik? Apatah lagi datang dari pihak yang melaung-laungkan tentang Melayu Islam,” katanya dalam satu kenyataan di laman X di sini hari ini.
Anwar turut mempersoalkan sama ada Perikatan Nasional (PN) yang ditunjangi Pas benar-benar mengambil berat mengenai kepentingan golongan berpendapatan rendah yang menyimpan wang dalam Tabung Haji untuk menunaikan Rukun Islam kelima.
“Apakah PN yang ditunjangi Pas tidak pentingkan kepentingan orang susah, nelayan, petani, guru, polis, tentera, pesara yang mengerah keringat untuk menyimpan wang dalam Tabung Haji untuk menunaikan Rukun Islam kelima?,” katanya.
Kenyataan itu dibuat susulan tindakan blok pembangkang keluar dari Dewan Rakyat dan tidak mengambil bahagian dalam sesi penerangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan, berhubung laporan RCI Tabung Haji.
Sebelum itu, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan membangkitkan cadangan supaya sidang khas berkenaan ditangguhkan selepas Perdana Menteri tidak dapat menghadiri sesi tersebut. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Nak bahas tentang saya atau Tabung Haji?’ appeared first on Kosmo Digital.






