Pulau sidang RCI TH penghinaan terhadap amanah rakyat, umat Islam – AMK

LocalPolitics
11 Aug 2026 • 5:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pulau sidang RCI TH penghinaan terhadap amanah rakyat, umat Islam – AMK
Muhammad Kamil berkata, laporan RCI Tabung Haji merupakan isu nasional yang merentas kepimpinan dan membabitkan kepentingan jutaan pendeposit umat Islam.

KUALA LUMPUR – Tindakan Ahli Parlimen pembangkang memulaukan Sidang Khas Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji di Dewan Rakyat disifatkan sebagai penghinaan terhadap amanah rakyat dan umat Islam.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, tindakan rakan gabungan dalam Perikatan Nasional (PN), khususnya Pas dan Wawasan, yang memilih untuk meninggalkan sidang berkenaan amat mendukacitakan dan tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, Parlimen merupakan pentas tertinggi dan paling rasmi untuk Ahli Parlimen membahaskan, meneliti serta menuntut penjelasan berhubung isu kebajikan rakyat dan ketelusan institusi negara.

“Tindakan melarikan diri daripada sidang khas ini bukan sahaja menunjukkan ketidakmatangan politik, malah seolah-olah membelakangkan kepentingan jutaan pendeposit yang bergantung harapan kepada integriti pengurusan Tabung Haji,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Muhammad Kamil turut mempersoalkan alasan pembangkang yang mendesak sidang ditangguhkan susulan ketidakhadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani pemulihan kesihatan.

Menurutnya, ia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menghalang fungsi Dewan Rakyat daripada berjalan.

Beliau berkata, pentadbiran negara beroperasi berasaskan prinsip kebertanggungjawaban kolektif dan ketidakhadiran Anwar tidak melumpuhkan fungsi Dewan.

“Jemaah Menteri adalah satu entiti. Sesebuah kerajaan memerintah berasaskan keputusan dan kebertanggungjawaban bersama Jemaah Menteri.

“Ketidakhadiran Perdana Menteri atas sebab kesihatan tidak pernah melumpuhkan fungsi Dewan, kerana Timbalan Perdana Menteri serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) hadir secara rasmi mewakili seluruh barisan pentadbiran Kerajaan untuk memberi penerangan dan jawapan,” ujarnya.

Muhammad Kamil pada masa sama menegaskan Parlimen bukan pentas individu yang hanya boleh berfungsi apabila Perdana Menteri hadir.

“Pembangkang tidak sepatutnya merendah-rendahkan institusi Parlimen dengan menganggap persidangan ini seperti majlis peribadi yang tidak boleh berjalan tanpa kehadiran individu tertentu,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pembangkang keluar dewan, protes sidang khas RCI Tabung Haji

Keluar Dewan: Pembangkang tidak serius isu RCI Tabung Haji – Zaliha

Ahli Parlimen Bersatu tidak keluar dewan, mahu tempoh bahas RCI TH dipanjangkan

'Nak bahas saya atau Tabung Haji?' - Anwar

Beliau berkata, laporan RCI Tabung Haji merupakan isu nasional yang merentas kepimpinan dan membabitkan kepentingan jutaan pendeposit umat Islam.

Sehubungan itu, beliau menggesa pembangkang menggunakan ruang Parlimen untuk menjalankan fungsi semak dan imbang sekiranya terdapat kepincangan dalam pengurusan Tabung Haji.

Menurutnya, platform berkenaan adalah tempat terbaik untuk mengemukakan hujah, pembuktian dan cadangan penyelesaian, bukannya dengan memboikot atau meninggalkan sidang.

“Sikap bertindak keluar atau memulaukan sidang hanya memberi persepsi bahawa keutamaan parti politik tertentu lebih tinggi berbanding usaha memelihara kedudukan kewangan dan masa depan Tabung Haji.

“Rakyat berhak mendapat jawapan yang tuntas, bukannya drama politik,” jelas beliau.

Muhammad Kamil berkata, semua pihak perlu kembali kepada matlamat asal perjuangan demi rakyat dan tidak menjadikan perbezaan pandangan atau strategi politik sebagai alasan membelakangkan institusi Parlimen.

“Gunakan pentas Parlimen secara matang, berani, dan berintegriti. Jangan biarkan rakyat hilang kepercayaan terhadap kesungguhan kita dalam membela nasib mereka,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved