
KASUT tumit tinggi masih menjadi kegemaran ramai kerana mampu menyerlahkan penampilan.
Namun, di sebalik rupa yang cantik dan elegan, ada kesan terhadap tubuh, terutama jika dipakai terlalu lama atau terlalu kerap.
Pakar Perunding Pembedahan Ortopedik, Dr Kor Yee Sang dari Columbia Asia Hospital Batu Kawan berkata, ia boleh menyebabkan kesakitan, perubahan struktur kaki dan juga masalah sendi yang berpanjangan.
"Apabila tumit diangkat, kira-kira 75 peratus berat badan akan tertumpu pada bahagian depan kaki. Keadaan itu bukan sahaja memberi tekanan pada jari kaki dan tapak depan kaki, malah turut memberi kesan kepada buku lali, lutut, pinggul dan bahagian bawah belakang badan.
"Dalam jangka panjang, tekanan yang berulang boleh menjejaskan cara berjalan serta mengubah struktur kaki," ujarnya.
Tambah beliau, antara masalah yang sering dikaitkan dengan tekanan pada bahagian depan kaki ialah metatarsalgia, iaitu sakit dan keradangan pada tapak depan kaki akibat tekanan berlebihan.
Selain itu, neuroma Morton juga boleh berlaku apabila tisu di sekitar saraf menebal sehingga menyebabkan rasa terbakar atau sensasi seperti terpijak batu kecil.
Bunion dan jari kaki tukul pula boleh terjadi apabila kasut terlalu sempit atau berlaku ketidakseimbangan otot pada jari kaki.
Kesan pemakaian tumit tinggi juga boleh melibatkan tumit dan buku lali. Antaranya termasuk plantar fasciitis yang biasanya menyebabkan sakit mencucuk pada tumit, terutama ketika melangkah pada waktu pagi.
Tendinitis Achilles pula boleh menyebabkan rasa sakit dan tegang di belakang buku lali. Risiko terseliuh buku lali turut meningkat, selain kemungkinan berlakunya kecacatan Haglund, iaitu benjolan tulang yang menyakitkan di belakang tumit.
Masalah kulit dan kuku seperti mata ikan, kematu dan cengkam kuku juga mudah berlaku apabila kasut terlalu sempit atau kerap bergesel dengan kulit.
"Dari sudut klinikal, tumit setinggi satu hingga dua inci dianggap lebih ideal kerana dapat mengurangkan ketegangan pada tendon Achilles.
Kasut tumit baji atau tumit blok juga lebih digalakkan berbanding tumit runcing kerana tapaknya lebih luas dan stabil untuk menyokong badan.
"Selain itu, ruang jari yang lebar, sokongan lengkungan kaki baik serta tali atau ikatan kemas perlu diberi perhatian.
Peraturan dua hari
Ini membantu mengurangkan pergerakan kaki di dalam kasut sekali gus menurunkan risiko tekanan berlebihan atau kecacatan jari kaki dalam tempoh jangka panjang," ujarnya.
Dr Yee Sang turut menjelaskan bahawa individu yang mempunyai lengkungan kaki tinggi memerlukan kusyen tambahan bagi mengurangkan tekanan pada tapak depan kaki serta mengelakkan buku lali mudah terseliuh.
"Bagi mereka yang mempunyai kaki rata pula, pemilihan kasut perlu lebih berhati-hati kerana kekurangan sokongan lengkungan boleh mempercepatkan masalah seperti bunion atau plantar fasciitis.
Jika seseorang mempunyai kaki yang lebar, kasut dengan ruang jari yang lebih luas ialah pilihan yang lebih selesa,"kongsinya.
Untuk kekal selesa lebih lama, beberapa regangan dan latihan ringkas boleh diamalkan seperti regangan otot betis, menarik jari kaki ke arah tulang kering dan memutar buku lali dalam bulatan bagi mengurangkan kekakuan sendi.
Otot kecil dalam kaki juga boleh diperkuat melalui latihan towel scrunches atau mengutip guli menggunakan jari kaki. Senaman angkat tumit pula membantu menstabilkan buku lali serta meningkatkan keseimbangan.
Menggulung tapak kaki di atas bola tenis atau botol air beku boleh membantu melegakan ketegangan, manakala rendaman air garam selama 20 minit boleh mengurangkan keradangan.
Dalam masa sama, amalan peraturan dua hari, iaitu tidak memakai kasut tumit tinggi yang sama secara berturut-turut, juga wajar dipraktikkan. Pemakaiannya pula sebaiknya dihadkan kepada tiga jam atau kurang.
"Jangan abaikan isyarat awal daripada kaki seperti rasa pedih, panas, kebas, sakit tajam pada tumit atau sensasi seperti berjalan atas batu kecil. Cantik itu tidak salah, tetapi keselesaan dan kesihatan kaki tetap perlu diutamakan," ujar pakar itu lagi.
