“Nak Buat Program Mahu Bagi Orang Makan, Call Saya” – Sifat Pemurah Pengasas Restoran Mohd Chan Dikenang

LocalFood
25 Sep 2025 • 10:33 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Pengasas dan pemilik rangkaian Restoran Cina Muslim Mohd Chan, Datuk Mohd Chan Abdullah dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, kira-kira jam 7 malam tadi.

Sifat pemurah pengasas Restoran Mohd Chan

Perkara itu dimaklumkan pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung menerusi laman Facebook rasminya hari ini.

Menurut beliau, perkenalannya dengan Allahyarham bermula sejak 2008 ketika Mohd Chan baru mengusahakan sebuah cawangan di Rawang, Selangor.

image is not available

“Tidak sangka selepas saya berkecimpung dalam dakwah secara sepenuh masa bermula 2013, kami berjumpa kembali. Beliau seorang yang pemurah, kerap menawarkan untuk menaja makanan bagi program dakwah,” katanya.

Firdaus turut berkongsi bahawa Allahyarham tidak pernah menolak setiap kali diminta untuk menaja, malah sering memberi lebih daripada yang diperlukan.

“Adakalanya kami membeli daripada restorannya tanpa memberitahu beliau kerana tidak mahu mengambil kesempatan atas kemurahan hatinya,” ujarnya.

image is not available

Pada masa sama, Firdaus mendoakan agar segala usaha dan sumbangan Allahyarham sepanjang hayatnya diterima oleh Allah SWT.

“Semoga Allah menerima segala amal baik Datuk Mohd Chan membantu dakwah selama ini,” katanya lagi.

Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Bukit Kiara 2, selepas Zuhur hari ini.

Rangkaian Restoran Mohd Chan kini berkembang pesat dengan penubuhan banyak cawangan di seluruh negara, menjadi antara jenama Cina Muslim paling dikenali dalam industri makanan halal tempatan.

Sumber: Facebook Firdaus Wong Wai Hung