“Nak Dapat RM20 Pun ‘Bercinta’” – Peniaga Risau Jualan Terganggu Lepas Kempen #BoikotPD

LocalPolitics
6 Feb 2025 • 5:36 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Pada minggu lalu, tular di media sosial video hebahan mengenai larangan pemasangan khemah di pantai Port Dickson, Negeri Sembilan oleh Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).

Melalui hantaran yang tular itu, pengunjung yang memasang khemah diminta untuk membuka semula khemah mereka dan jika gagal boleh dikenakan tindakan.

Malah, MPPD menerusi satu hantaran di Facebook turut menyenaraikan jenis khemah yang dilarang untuk dipasang di beberapa pantai yang terdapat di Port Dickson.

Larangan tersebut nyata menjadi perhatian hingga ramai yang meluahkan rasa kurang senang dengan peraturan baru itu.

Lebih teruk, ada yang menjalankan kempen #boikotPD dengan tidak lagi berkunjung ke Port Dickson sebagai tanda protes terhadap peraturan tersebut.

Harap MPPD Longgarkan Larangan Pemasangan Khemah

Isu pemasangan khemah di beberapa pantai Port Dickson belum menunjukkan tanda akan reda selepas peniaga dan orang awam bimbang dengan kempen #boikotPD yang dijalankan oleh pengguna media sosial.

Majoriti mereka berharap agar larangan pemasangan khemah, kanopi serta payung pantai yang diumumkan oleh MPPD baru-baru ini dilonggarkan.

Larangan Jadi Punca Pengunjung Dari Luar Tidak Mahu Berkunjung Ke Situ

Dakwa seorang peniaga payung pantai yang dikenali sebagai Mohd. Fadly Mohd. Nasir, larangan tersebut menyebabkan pengunjung terutamanya orang luar enggan berkunjung ke situ lagi.

“Ini benar-benar jejaskan peniaga. Macam saya, selain payung pantai, saya turut jalankan perniagaan sukan air seperti bot, jet ski. Semasa khemah biru serta pengunjung ramai, saya boleh dapat sehingga RM800 sehari.

“Kini nak dapat RM20 pun ‘bercinta’ kerana tiada siapa mahu beriadah di kawasan pantai le­bih-lebih lagi pada waktu panas tanpa payung atau khemah,” katanya yang dipetik dari Kosmo.

Terpaksa Kurangkan Pekerja Kerana Tak Mampu Tanggung Kos

Malah, Mohd. Fadly menjelaskan, dia terpaksa mengurangkan bilangan pekerja disebabkan tidak mampu menanggung kos.

“Pekerja saya yang dulunya sembilan orang kini tinggal dua kerana saya tak mampu bayar gaji susulan tiada pengunjung.

“Jika dahulu musim cuti sekolah, pengunjung hampir setiap hari memenuhi pantai hingga cecah puluhan ribu, kini sepi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, seorang peniaga yang dikenali sebagai K. Jivannthan meluahkan rasa syukur isu khemah biru telah selesai dan peniaga diberi payung pantai.

Namun, apabila khemah tidak dapat dipasang, ia menyebabkan ramai yang tidak jadi berkunjung dan berkelah di Port Dickson.

Larangan Patut Dilonggarkan Kepada Pengunjung

Isu ini turut mendapat perhatian pengunjung yang dikenali sebagai Zulkifli Abu.

Zulkifli berpendapat, larangan pemasangan khemah sepatutnya dilonggarkan buat pengunjung.

“Ada masa terlalu panas dan hujan, jadi khemah amat pen­ting buat pengunjung berlindung sambil riadah,” katanya.

Source: