
Nak Fasih Cakap Bahasa Inggeris Dalam 60 Hari? Ini 9 Langkah Mudah Dikongsi Guru BI
Ramai beranggapan untuk fasih berbahasa Inggeris memerlukan kelas mahal atau bakat semula jadi. Hakikatnya, kunci utama ialah konsisten berlatih setiap hari.
Menerusi satu perkongsian di Threads semalam, pengguna @englishloovers berkongsi pelan pembelajaran selama 60 hari yang disusun langkah demi langkah bagi membantu seseorang bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan lebih lancar dan yakin.
Menurutnya, proses pembelajaran itu dibahagikan kepada tiga fasa utama iaitu melatih minda, mengembangkan kemahiran bertutur dan membina keyakinan.
Fasa 1 (Hari 1-15): Latih Minda Untuk Biasakan Diri Dengan Bahasa Inggeris
Katanya, langkah pertama ialah membiasakan diri mendengar Bahasa Inggeris setiap hari melalui podcast, video YouTube atau rancangan televisyen walaupun tidak memahami keseluruhan kandungannya.
Menurut beliau, pendedahan secara konsisten membantu otak mengenali bunyi, sebutan dan struktur bahasa secara semula jadi.
Selain itu, beliau menasihatkan supaya berhenti menterjemah setiap perkataan ke dalam bahasa ibunda.
Sebaliknya, cuba kaitkan sesuatu objek terus dengan perkataan dalam Bahasa Inggeris. Sebagai contoh, apabila melihat sebiji epal, terus fikirkan perkataan apple tanpa menterjemahkannya terlebih dahulu.
Beliau turut menggalakkan orang ramai mempelajari pola atau struktur ayat berbanding menghafal perkataan secara berasingan.
Katanya, ayat seperti "I'd like to..." atau "Could you help me..." boleh digunakan dalam pelbagai situasi hanya dengan menukar bahagian hujung ayat.
Baca juga:Fasa 2 (Hari 15-35): Banyakkan Bertutur
Menurut @englishloovers, salah satu cara paling berkesan ialah bercakap dengan diri sendiri setiap hari.
Ujarnya, latihan itu membantu otak membina ayat secara spontan tanpa tekanan.
Sebagai contoh, seseorang boleh menyebut aktiviti harian seperti "I'm making coffee now" atau "After that, I'm going to work."
Beliau turut mencadangkan agar memilih satu topik setiap hari dan bercakap mengenainya selama dua hingga lima minit.
Katanya, topik mudah seperti keluarga, pekerjaan atau filem kegemaran sudah memadai untuk menambah kosa kata dan meningkatkan keyakinan.
Selain itu, beliau mengesyorkan teknik shadowing, iaitu mendengar penutur asli kemudian mengulangi semula setiap ayat dengan meniru sebutan, rentak dan intonasi mereka.
Fasa 3 (Hari 35-60): Bina Keyakinan Untuk Bertutur
Menurut beliau, ramai pelajar terlalu takut melakukan kesilapan sehingga memilih untuk berdiam diri.
Katanya, kelancaran hanya akan datang apabila seseorang berani bercakap walaupun tatabahasa belum sempurna.
Beliau berkata, jika tidak mengetahui sesuatu perkataan, cuba terangkan maksudnya menggunakan perkataan lain yang lebih mudah difahami.
Selain itu, beliau mengingatkan bahawa penggunaan perkataan yang mudah dan jelas jauh lebih penting berbanding menggunakan istilah yang rumit.
“Matlamat utama ialah memastikan orang lain memahami apa yang kita ingin sampaikan, bukannya mengagumkan mereka dengan perkataan yang sukar,” ujarnya.
Kanak-kanak Belajar Melalui Pendedahan Harian
Dalam perkongsian sama, @englishloovers turut berkongsi tip untuk ibu bapa yang ingin memperkenalkan Bahasa Inggeris kepada anak-anak sejak kecil.
Menurutnya, video YouTube boleh membantu kerana kanak-kanak merupakan pembelajar visual, namun interaksi harian jauh lebih penting.
Beliau menyarankan ibu bapa menggunakan ayat mudah ketika melakukan aktiviti harian seperti "This is an apple", "Let's wash your hands" atau "What colour is this?"
Katanya, semakin kerap kanak-kanak mendengar Bahasa Inggeris dalam situasi sebenar, semakin cepat mereka mempelajarinya secara semula jadi.
Beliau turut mengingatkan bahawa pelan pembelajaran yang baik hanyalah panduan, manakala kejayaan sebenar bergantung kepada komitmen untuk berlatih setiap hari.




