
Bakal menganjurkan Konsert Galau buat pertama kalinya di Singapura, penyanyi dan Pengarah Urusan SAH Entertainment, Sufi Rashid menyifatkan penganjuran konsert tersebut bagaikan satu malam berkonsep ‘healing’ buat para penonton.
Menurut Sufi, penganjuran konsert yang akan diadakan pada 9 dan 16 Disember ini di Singapore EXPO itu telah direncanakan bersama sebuah unit komiti yang menyaksikan pemilihan barisan artis juga diundi oleh orang awam.
“Pemilihan artis-artis yang akan terlibat dalam konsert itu nanti bukan dibuat oleh pihak SAH Entertainment sahaja. Tetapi kami ada unit komiti yang digelar SAHabat untuk terlibat sama menguruskan pemilihan artis yang turut melibatkan undian orang awam.
“Boleh dikatakan, konsert ini adalah yang pertama kali seumpamanya diadakan di Singapura dan yang pertama di Asia yang menampilkan barisan 10 artis original atau kumpulan popular yang asal.
“SAH Entertainment memang komited mahu memastikan semua barisan asal artis ini ada untuk menjayakan konsert ini untuk menghiburkan peminat-peminat menerusi seleksi lagu-lagu galau masing-masing,” katanya.
