‘Nak jatuhkan kerajaan, silakan’

LocalPolitics
14 Aug 2026 • 7:18 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ‘Nak jatuhkan kerajaan, silakan’

MELAKA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) mencabar mana-mana pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan supaya berbuat demikian, sambil menegaskan parti itu bersedia berdepan apa juga kemungkinan demi meneruskan agenda reformasi.

Naib Ketua AMK, Muhammad Nabil Halimi berkata, PKR tidak seharusnya terus memikirkan soal kestabilan atau berkompromi dengan pihak yang dianggap menghalang usaha melaksanakan reformasi.

Katanya, baki mandat kerajaan perlu dimanfaatkan untuk menyempurnakan beberapa agenda yang masih dinantikan rakyat termasuk pemisahan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya, had tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal serta Akta Pendanaan Politik.

“Kita mungkin lawan kita dahulu kita anggap kawanlah. Macam tadi ramai pemimpin yang sebut musuh dalam selimut, talam dua muka.

“Untuk apa kita fikirkan kestabilan dengan mereka lagi? Untuk apa kompromi dalam baki mandat ini? Saya harap kita dapat segerakan reformasi yang rakyat masih tunggu.

“Kita sempurnakan pemisahan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, tempoh Perdana Menteri dua penggal yang ditangguh, Akta Pendanaan Politik dan kita perlu berani lakukan reformasi ini kerana harapan rakyat tinggi pada kita,” katanya ketika sesi penggulungan Kongres Nasional AMK di sini hari ini.

Muhammad Nabil berkata, AMK tidak boleh sekadar menjadi pemerhati, sebaliknya perlu menjadi penggerak yang mendesak kerajaan memastikan agenda reformasi benar-benar dilaksanakan.

Menurutnya, sekiranya terdapat pihak yang cuba menghalang agenda berkenaan termasuk menggagalkan undian di Parlimen, rakyat perlu diberi peluang untuk menilai sendiri pihak yang menyokong atau menjadi penghalang kepada reformasi.

“Angkatan Muda tidak boleh sekadar menjadi pemerhati. Kita mesti menjadi penggerak yang mendesak, mengawal dan memastikan agenda reformasi ini benar-benar dilaksanakan.

“Kalau ada pihak yang menghalang, ada yang ingin gagalkan undian di Parlimen, biarkan rakyat melihat siapa yang benar-benar mahu reformasi dan siapa yang menjadi penghalang.

“Nak jatuhkan kerajaan kita sekarang? Silakan! Kita bertempur sebagai anak jantan. Biar putih tulang, jangan putih mata,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Nabil menolak tanggapan bahawa keputusan pilihan raya yang tidak memihak kepada PKR berpunca daripada rakyat memilih politik identiti atau tidak matang dalam membuat keputusan.

“Ada yang kata rakyat memilih politik identiti. Rakyat tidak matang. Rakyat lebih suka sentimen daripada prestasi. Saya tidak setuju.

“Jangan kita bodohkan rakyat hanya kerana mereka tidak memilih kita. Kalau kita berbuat begitu, apa beza kita dengan keangkuhan UMNO dahulu?” katanya.

Beliau berkata, rakyat yang sama sebelum ini berani menukar kerajaan sehingga membuka ruang kepada pelbagai skandal dan penyelewengan institusi negara untuk dipersoalkan.

“Kalau rakyat menghukum kita hari ini, jangan marah rakyat. Dengar rakyat,” katanya. – UTUSAN

The post ‘Nak jatuhkan kerajaan, silakan’ appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved