
MELAKA: Kedudukan PKR sebagai sebahagian daripada kerajaan hari ini menuntut parti itu mengubah pendekatan dan strategi politik dalam meneruskan perjuangan reformasi.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, PKR memerlukan gerak kerja politik parti yang dilaksanakan secara lebih tersusun, teratur, berstruktur dan bersasar.
“Apabila kita hari ini membentuk kerajaan, menjadi sebahagian daripada kerajaan, keadaan itu menuntut kita untuk memperbaharui pendekatan, strategi, gerak kerja politik kita supaya perjalanan itu lebih tersusun, lebih teratur, lebih berstruktur dan lebih bersasar.
“Cabaran ketika reformasi berada di luar kerajaan dan ketika reformasi berada dalam kerajaan adalah dua cabaran yang berbeza,” katanya ketika berucap pada Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Muhammad Kamil berkata, perkembangan itu turut menuntut parti agar bermuhasabah dan merenung semula sejauh mana usaha yang dilakukan selama ini mampu memastikan kelangsungan perjuangan reformasi.
Katanya, pengalaman dilalui sepanjang perjuangan parti perlu dijadikan asas untuk menilai semula usaha yang telah dilakukan dan memastikan obor reformasi terus digalas.
Kongres Nasional PKR itu perlu dijadikan medan untuk anggota parti menyampaikan pandangan, kritikan, cadangan dan nasihat dalam usaha memperbaiki gerak kerja serta perjuangan parti.
Justeru pandangan dikemukakan sepanjang kongres perlu memberi pengajaran kepada anggota sebelum mereka kembali ke kawasan masing-masing dengan semangat baharu.
“Gunakan ruang kongres ini untuk melontarkan pandangan, kritikan, cadangan dan juga nasihat yang baik supaya setiap daripada kita mendapat pengajaran dan juga pendidikan bersama.
“Mudah-mudahan kita pulang ke kawasan kita selepas ini dengan satu tekad yang baharu, satu semangat yang baharu dan tidak lari daripada khidmat perjuangan kita, matlamat asal perjuangan kita,” katanya. – UTUSAN
The post Cabaran reformasi berbeza apabila berada dalam kerajaan – Kamil appeared first on Utusan Malaysia.






