'Nak kembali kepada UMNO jangan jual mahal'- Tok Mat

LocalPolitics
7 Mar 2026 • 4:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohamad(tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri BN di majlis Khatam al-Quran NSWO/Pekerti.

SEREMBAN – Bekas ahli UMNO yang berhasrat menyertai parti terbabit termasuk Khairy Jamaluddin Abu Bakar perlu menghantar surat permohonan rasmi kepada Setiausaha Agung parti.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti sememangnya tidak mempunyai masalah untuk menerima semula bekas ahlinya, namun perlu mengikut prosedur ditetapkan.

“Kalau mahu kembali kepada UMNO, mintalah. Jangan sekadar bercakap sahaja.

“Tulislah surat atau bertemu dengan pihak parti untuk menyatakan hasrat kembali atau memohon supaya penggantungan keahlian dibatalkan. Jangan jual mahal sangat,” katanya ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Khatam al-Quran Pertubuhan Wanita Negeri Sembilan(NSWO)/Pekerti di sini pada Sabtu.

Mohamad berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang dilaporkan mahu kembali menyertai parti itu menerusi agenda ‘Rumah Bangsa’.

Menurutnya lagi, sebelum ini ramai dalam kalangan pemimpin parti yang dipecat atau digantung keahliannya telah pun diterima semula.

Bagaimanapun katanya, setiap kemasukan semula bekas ahli parti itu akan dibawa ke dalam mesyuarat jawatankuasa pengurusan parti terlebih dahulu selain turut mengambil pandangan daripada bahagian parti.

"Biasanya jika individu yang digantung atau dipecat mahu kembali, kita akan minta pandangan daripada UMNO bahagian terlebih dahulu.

“Kita tidak akan mengenepikan mana-mana pihak. Jika bahagian tiada isu, kita akan rujuk pula kepada perhubungan negeri sebelum perkara itu dibawa ke Majlis Kerja Tertinggi (MKT)," katanya.

Tambah beliau, proses tersebut penting bagi memastikan keharmonian parti terus terpelihara.

Dalam perkembangan lain, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, BN secara dasar menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 115 kerusi Parlimen pada pilihan raya akan datang.

Katanya, sasaran itu penting bagi memastikan BN berpeluang membentuk kerajaan sendiri memandangkan sekurang-kurangnya 112 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved