
Bermula bulan Mac ini, kadar bayaran parkir awam di Pulau Pinang dinaikkan sebanyak 50% oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Difahamkan, kenaikan kadar bayaran parkir itu adalah sebahagian usaha mereka untuk mengurangi kesesakan di kawasan permintaan tinggi.
Keputusan itu dibuat bagi meningkatkan aliran trafik dan mengelak parkir jangka panjang yang menyekat ruang parkir awam terhad.
Kadar bayaran baharu mengikut jam dan harian, pas bulanan kekal
Datuk Bandar Pulau Pinang, Datuk Ir A Rajendran berkata, menerusi kadar itu, bayaran parkir meningkat daripada 40 sen kepada 60 sen bagi setiap setengah jam dan daripada 80 sen kepada RM1.20 sejam.
Manakala kadar harian juga dinaikkan daripada RM6 kepada RM9, sementara pas bulanan kekal pada RM150.
“Ada dalam kalangan pemandu yang meletakkan kenderaan mereka selama 10 hingga 12 jam secara berterusan sehingga menyukarkan orang lain bagi mendapatkan tempat parkir.
“Bukan sahaja menyebabkan pemandu terpaksa berpusing-pusing mencari parkir malah ia memburukkan lagi kesesakan.
“Kita turut merancang bagi menetapkan had masa parkir di kawasan permintaan tinggi seperti sebahagian Lebuh Chulia dan Lebuh Pasar (Little India),” katanya dipetik Harian Metro.
MBPP ambil langkah lebih ketat di 5 lokasi tumpuan kesesakan
Mengulas lanjut, beliau berkata langkah yang lebih ketat turut diperkenalkan MBPP di lima lokasi tumpuan kesesakan dengan ‘mengharamkan’ menunggu di tepi jalan serta meningkatkan penguatkuasaan terhadap parkir haram.
5 lokasi tumpuan kesesakan tersebut ialah:
- Jalan P Ramle
- Jalan Dato’ Keramat
- Jalan Magazine
- Jalan Burma
- Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu
Menurutnya, pihaknya juga bekerjasama dengan pemaju bagi memastikan kemudahan parkir swasta di bangunan komersial mengguna pakai struktur bayaran serupa dengan kadar parkir awam MBPP bagi mengurangi kesesakan.
“Orang ramai digalakkan bagi menggunakan ruang parkir sedia ada di pusat beli-belah dan bangunan swasta, bukan bergantung sepenuhnya kepada parkir awam.
“Penduduk juga perlu supaya memanfaat pilihan pengangkutan awam di Pulau Pinang termasuk bas Rapid Penang, teksi dan perkhidmatan e-hailing bagi mengurangi kesesakan jalan raya,” katanya lagi.
Difahamkan, MBPP juga telah memulakan proses tender terbuka bagi membangunkan kemudahan parkir bertingkat di sepanjang Weld Quay bagi menambah bilangan tempat parkir yang tersedia.
Source:



