Anekdot Mawarith14/10/2026 - 07:00 Oleh ARIFFIN SABIRIN editor@dagangnews.com Saya pernah beberapa kali dalam ruangan ini menjelaskan isu ini dan kedudukannya juga sudah saya huraikan beberapa kali.
Namun, saya faham tidak semua orang akan mengambil masa untuk skrol dan membaca beratus-ratus artikel saya ini.
Oleh kerana saya ditanya lagi soalan ini, maka saya mengambil inisiatif untuk menjelaskannya sekali lagi.
Apa sebenarnya fungsi wasiat dalam hukum syarak?
Dalam bahasa yang paling mudah, wasiat dalam hukum syarak bermaksud pemberian kepada 'bukan waris' pada kadar 1/3 daripada harta pusaka selepas kematian kita.
Siapakah 'bukan waris' ini? Mereka ialah golongan yang tidak menerima harta pusaka mengikut hukum faraid.
Siapakah mereka? Contohnya, anak angkat, kawan-kawan, masjid, surau, persatuan dan lain-lain. Jika kita membuat wasiat kepada pihak ini sebanyak 1/3, dengan andaian tiada isu lain berbangkit, maka ia berkuat kuasa selepas kematian kita.
Jika kadarnya melebihi 1/3, contohnya 1/2, maka persetujuan daripada waris-waris faraid bagi kadar yang melebihi 1/3 itu perlu diperoleh. Jika persetujuan tidak diperoleh, maka wasiat itu sah setakat 1/3 sahaja.
Jika ada waris mengikut hukum faraid yang tidak bersetuju dengan wasiat ini, mereka tidak boleh mempertikaikannya dari sudut kadar 1/3 itu atau penerimanya. Mereka hanya boleh mempertikaikannya dari sudut teknikal lain sahaja, contohnya tandatangan wasiat itu palsu atau pewasiat itu tidak waras ketika membuat wasiat.
Jika hujah ini ditolak oleh mahkamah, maka wasiat 1/3 kepada bukan waris itu tetap terlaksana.
Daripada penjelasan ini, jelas bahawa jika anda berhasrat untuk memberikan harta pusaka anda pada kadar 1/3 kepada bukan waris, maka wasiat ialah instrumen yang tepat kerana pembahagian itu akan berkuat kuasa.
Apa pula kedudukan wasiat kepada waris mengikut hukum faraid?
Jika dalam wasiat ada disebut bahawa harta pusaka hendaklah diagihkan kepada anak atau isteri pada kadar tertentu, itu sudah dianggap wasiat kepada waris.
Adakah ia berkuat kuasa? Ia hanya akan berkuat kuasa sekiranya semua waris lain mengikut hukum faraid bersetuju dengan hasrat pewasiat itu.
Contohnya, jika pewasiat mewasiatkan agar semua harta pusakanya diserahkan kepada isteri sahaja, sedangkan dia masih mempunyai anak-anak kandung dan ibu bapa. Selepas kematiannya, jika ada antara anak atau ibu bapanya yang tidak bersetuju dengan wasiat itu, maka wasiat tersebut akan terbatal.
Oleh itu, jelas bahawa jika anda berhasrat untuk memberikan harta anda kepada waris, maka wasiat bukanlah instrumen yang tepat untuk digunakan.
Bagi tujuan wasiat untuk mengagihkan harta pusaka mengikut formula tertentu seperti hasrat bakal jemaah haji, mahkamah yang mempunyai bidang kuasa ialah Mahkamah Syariah, bukannya Mahkamah Sivil!
Apa pula fungsi wasiat mengikut undang-undang sivil?
Sekarang mari kita bincangkan pula kedudukan wasiat mengikut undang-undang sivil.
Setakat pengetahuan saya, baik Mahkamah Syariah mahupun Mahkamah Sivil, termasuk Pejabat Pusaka Kecil, sangat berhati-hati dalam membincangkan isu bidang kuasa.
Saya sudah menjelaskan bahawa bagi wasiat yang kandungannya mempunyai klausa pembahagian harta, sama ada kepada waris mahupun bukan waris, mahkamah yang mempunyai bidang kuasa ialah Mahkamah Syariah.
Namun begitu, dari sudut pemakaian undang-undang secara umum, jika wasiat itu menyebut tentang 'pelantikan wasi' (appointment of executor), mahkamah yang mempunyai bidang kuasa untuk mengesahkannya ialah Mahkamah Tinggi Sivil di bawah Akta Probet dan Pentadbiran 1959.
Wasi yang telah diberikan kuasa melalui Surat Kuasa Mentadbir (Letters of Administration) atau Geran Probet (Grant of Probate) akan mempunyai kuasa untuk menguruskan harta pusaka.
Namun, perlu diingat bahawa peruntukan Akta Probet dan Pentadbiran 1959 ini tidak terpakai kepada kes-kes di Pejabat Pusaka Kecil. Dalam erti kata lain, pelantikan wasi dalam wasiat bagi kes-kes Pejabat Pusaka Kecil itu belum tentu akan berkuat kuasa.
Apa sebenarnya wasiat yang banyak dipromosikan kepada masyarakat hari ini?
Masyarakat perlu tahu bahawa majoriti wasiat yang sedang dipromosikan di Malaysia hari ini ialah wasiat yang melantik wasi. Dalam wasiat ini, anda menyatakan hasrat untuk melantik pihak tertentu sebagai wasi.
Tanggungjawab utama wasi ialah mengumpulkan harta pusaka, membayar hutang si mati, melalui semua proses pentadbiran, sama ada di Mahkamah Tinggi Sivil jika harta pusaka bernilai melebihi RM5 juta, Pejabat Pusaka Kecil jika harta pusaka bernilai kurang daripada RM5 juta, atau Mahkamah Tinggi Syariah jika terdapat apa-apa isu syariah yang berbangkit mengenai harta pusaka itu, dan akhirnya mengagihkan harta pusaka kepada waris atau pihak yang berhak.
Adakah benar dengan membuat wasiat hasrat kita tercapai?
Apabila wasi profesional dilantik dan kita menyatakan formula pembahagian dalam wasiat, sama ada kepada bukan waris ataupun waris, pihak profesional itu akan cuba melaksanakan hasrat tersebut kerana dia telah dilantik sebagai wasi.
Namun, kita perlu faham bahawa peranan wasi juga terikat dengan undang-undang dalam melaksanakan hasrat itu. Wasi tidak mempunyai kuasa mutlak untuk mengagihkan harta pusaka kita semata-mata kerana kita mengarahkannya dalam wasiat.
Wasi juga perlu mendapatkan perintah mahkamah sebelum melaksanakan tanggungjawabnya. Contohnya, jika ada waris yang tidak bersetuju dengan wasiat, proses pengesahan wasiat perlu dilalui terlebih dahulu oleh wasi di Mahkamah Syariah.
Apa klausa dalam wasiat yang masyarakat perlu faham?
Kerana itu juga, dalam kebanyakan wasiat terdapat satu klausa yang dipanggil klausa 'keberasingan' (severability clause) yang kebanyakannya tidak dijelaskan kepada masyarakat apabila mereka membuat wasiat.
Klausa ini kebanyakannya berbunyi:
"Walau apa pun bentuk agihan harta pusaka yang dinyatakan di dalam wasiat ini, jika terdapat sebarang tuntutan daripada waris-waris, maka harta pusaka ini akan diagihkan mengikut hukum faraid."
Ini bermakna wasi yang dilantik dalam wasiat itu sebenarnya faham bahawa hukum faraid ialah kaedah agihan yang tetap akan diguna pakai jika ada waris yang tidak bersetuju dengan klausa agihan harta pusaka dalam wasiat tersebut dan perintah Mahkamah Syariah telah diperoleh.
Apa makna klausa ini?
Maknanya, apa pun bentuk agihan harta pusaka yang anda tulis dalam wasiat kepada waris, akhirnya harta itu tetap akan diagihkan mengikut hukum faraid atau berdasarkan perintah Mahkamah Syariah.
Saya pernah menemui satu wasiat yang kandungannya menyebut bahawa kesemua harta pusaka hendaklah diagihkan kepada anak sulung kerana anak sulung ini telah berbakti kepada ibunya, sedangkan anak-anak lain tidak mempedulikannya.
Dalam wasiat itu, turut disebut kekecewaan si ibu terhadap anak-anak lain yang lebih mendahulukan keluarga mertua, sehingga si ibu menulis dalam wasiat bahawa dia tidak menghalalkan susunya kepada anak-anak yang lain!
Walaupun saya percaya bahagian luahan hati itu dikarang oleh si ibu kerana bahasanya yang menggamit perasaan, wasiat ini sebenarnya disediakan oleh sebuah syarikat profesional!
Saya percaya wasiat ini bukanlah wasiat yang dikenakan fi standard kerana perinciannya dibuat khusus mengikut perasaan ibu tadi.
Kenapa perlu bayar beribu-ribu ringgit untuk membuat wasiat?
Ini membawa kita kepada persoalan seterusnya, iaitu jika hasrat agihan harta pusaka kita kepada waris dalam wasiat tidak berkuat kuasa kecuali jika dipersetujui oleh waris, maka apa perlunya kita membayar beribu-ribu ringgit untuk membuat wasiat yang rumit dan menggamit perasaan seperti wasiat ibu tadi?
Sudahlah wasiat itu tidak boleh berkuat kuasa kerana tidak dipersetujui oleh waris-waris lain, ia menimbulkan fitnah pula dalam kalangan anak-anak. Selepas kematian ibu, anak-anak saling berbalah kerana luahan perasaan ibu dalam wasiat tadi.
Apa yang lebih berkuat kuasa kalau nak bahagikan harta?
Bakal jemaah haji yang mahu membahagikan harta sebenarnya lebih perlu membuat HIBAH.
Dari sudut hukum syarak, agihan harta melalui hibah lebih jelas.
Sebagai penyedia dan pelaksana hibah paling berpengalaman di Malaysia, insya-Allah Wasiyyah boleh membantu. – DagangNews.com


