
PONTIAN: Ibu kepada tiga beradik maut dalam kemalangan di Jalan Parit Haji Siraj, di sini telah memaklumkan bahawa sesi persekolahan hari ini ditutup, namun dua anaknya tetap berkeras mahu pergi ke sekolah sebelum mereka maut kemalangan.
Julaiha Munaji, 43, berkata, mereka yang menunggang sebuah motosikal itu terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori kira-kira 200 meter dari kediaman keluarga, di sini.
“Saya sudah beritahu sekolah tutup, tidak dibuka hari ini tetapi dua anak saya, Nor Danial Fikri Nor Lizan, 11, dan Puteri Naufa Raisha Nor Lizan, 8, tetap berkeras mahu pergi ke sekolah. Mereka turut menyiapkan kerja sekolah pagi tadi.
“Disebabkan itu, abang mereka iaitu Nor Danial Aiman Nor Lizan, 18, menghantar mereka ke sekolah. Tetapi tidak lama kemudian saya dimaklumkan orang kampung anak-anak saya terlibat kemalangan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya, di Kampung Kayu Ara Pasong, di sini hari ini.
Tambah ibu kepada enam cahaya mata itu lagi, ketiga-tiga anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum berlakunya kemalangan tersebut.
“Mereka tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda perubahan sikap, kecuali kedua-dua anak yang kecil tidur bersama saya malam tadi.
“Empat bulan lalu saya patah tangan akibat kemalangan, jadi abang mereka yang hantar ke sekolah untuk penuhi permintaan mereka. Abangnya sedang menunggu keputusan untuk memasuki Giat Mara,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussein Mion Hussian mengesahkan kejadian berkenaan. – UTUSAN
The post Saya dah beritahu sekolah tutup – Ibu tiga anak maut kemalangan appeared first on Utusan Malaysia.






