“Nak pinjam duit kalau boleh” – CyberSecurity Keluar Amaran Aktiviti Penipuan & Penyamaran Melalui WhatsApp

7 Dec 2023 • 2:54 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Pihak CyberSecurity Malaysia baru-baru ini mengeluarkan amaran berikutan terdapat aktiviti penyamaran melalui aplikasi WhatsApp yang menipu mangsa untuk melakukan pemindahan wang.

Menerusi kenyataan CyberSecurity, terdapat aktiviti penipuan menggunakan aplikasi tersebut dengan cara pelaku menyamar sebagai individu dikenali mangsa sebelum menghantar satu pautan dan meminta mangsa untuk klik kepada pautan berkenaan.

Mangsa kemudian akan kehilangan akses ke akaun WhatsApp sendiri.

image is not available

Menurut CyberSecurity lagi, penipu akan mengambil alih akaun WhatsApp yang diceroboh dan akan menggunakan identiti mangsa untuk melakukan kegiatan penipuan.

Penipu berkenaan akan menyamar sebagai mangsa dan menghantar mesej kepada kenalan-kenalan mangsa menggunakan akaun WhatsApp mangsa.

Tambah mereka lagi, penipu akan menggunakan teknik yang melibatkan kandungan teks yang kononnya mangsa berada dalam situasi tertentu dan perlukan bantuan atau pinjaman kewangan.

image is not available

Pihak CyberSecurity juga mendedahkan setakat laporan yang mereka terima, pelaku akan menggunakan skrip yang sama dalam usaha menipu dan meminta mangsa untuk memindahkan sejumlah wang kepada akaun bank komersil tempatan.

Selain itu, ada juga beberapa kes yang akaun WhatsApp yang diceroboh ini digunakan untuk melakukan jenayah lain seperti mengugut mangsa untuk melabur dalam pelaburan kripto sekiranya inginkan akses ke akaun mereka semula.

Dalam masa yang sama, pihak CyberSecurity mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dengan tidak menekan sebarang pautan yang tidak dikenali.

Mereka juga menyarankan agar pengguna untuk mengesahkan identiti penghantar lebih-lebih lagi sekiranya mesej berkenaan pelik dan sebagainya. Cadangan mereka adalah untuk menghubungi kenalan tersebut menggunakan nombor kedua atau tanyakan soalan yang hanya ahli keluarga atau rakan anda sahaja tahu jawapannya.

Sumber : CyberSecurity

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.