Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Setiap kali tiba hari istimewa seperti hari jadi, ulang tahun dan sebagainya pasti ramai yang memilih untuk meraikannya dengan kek.
Ada yang pilih untuk membeli dari kedai dan ada juga yang membuat tempahan kerana mempunyai tema tertentu atau rekaan tertentu.
Peniaga kek tak ambil tempahan untuk sebarang dekorasi animasi
Baru-baru ini seorang pengguna di Threads telah berkongsi satu tangkap layar daripada peniaga menjual kek atau turut dipanggil sebagai ‘baker’ yang memaklumkan mengenai polisi barunya tentang kek tempahan.
Menerusi hantaran dikongsikan oleh Seri Jelita, peniaga itu memaklumkan kepada pelanggan bahawa dia tidak lagi menerima atau membuat sebarang kek dengan dekorasi karakter animasi atau karakter terkenal.
Jelasnya nak elak daripada sebarang isu copyright
Ini kerana peniaga itu memaklumkan dia mahu mengelak daripada timbulnya isu ‘copyright’ atau melanggar hak cipta karya (IP) mana-mana pihak.
Perkara itu termasuklah penggunaan kertas hiasan bergambar karakter kartun (topper) dan sebagainya.
Nakkan rezeki yang berkat dalam perniagaan
Selain itu, peniaga berkenaan turut memaklumkan bahawa perkara itu dilakukan juga kerana mahukan rezeki yang berkat dalam perniagaan yang dijalankan.
Perkara itu secara tidak langsung membuatkan penguna terbabit sedikit kecewa serta mempersoal mengapa peniaga tidak boleh melakukannya.
“Tapi kenapa tak boleh ya? Memang ada kena mengena ke? Kek dia sedap! Kemas! Tapi anak suka Elsa.
“Mana-mana baker boleh tak jelaskan kenapa? Sebab dia ni peniaga dari rumah. Memang tak boleh ke letak watak-watak yang ada hak cipta?,” soalnya.
Dalam bebenang hantaran itu, Seri Jelita turut menunjukkan rekaan kek yang pernah dibuat oleh peniaga berkenaan sehingga membuatkan dia mahu membuat tempahan yang sama.
View on Threads
View on Threads
Peniaga kek lain jelaskan mengenai isu hak cipta, dakwa peniaga di Singapura kena mohon maaf terbuka kerana guna karakter tanpa izin
Melihat di ruangan komen, seorang peniaga, Ahlaa Cakes mendakwa keputusan itu diambil oleh para peniaga yang menjual kek selepas terdapat isu di Singapura apabila ramai penjual kek perlu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada sebuah syarikat animasi Jepun.
Perkara itu dakwanya kerana menggunakan karakter daripada animasi berkenaan tanpa izin.
Dah tanya pada ustaz, hukum haram kerana menggunakan hak cipta tanpa izin
“Bila benda dah jadi isu undang-undang macam ni, baker (peniaga) macam saya pastinya akan takut dan saya tanya juga ustaz-ustaz pasal ni.
“Rupanya dalam Islam pun tak boleh guna barangan yang memiliki hak cipta tanpa izin. Jatuh hukum haram. Ibarat kita mencuri kerja orang.
“Sebab tu saya terus berhenti buat kek tema begini. Sebab dalam Islam salah, secara undang-undang pun salah,” jelasnya.
Turut maklumkan dah berhenti ambil kek dekorasi karakter sejak 8 Oktober lalu
Dalam komen sama, Ahlaa Cakes turut menunjukkan notis berhubung isu copyright dan pihaknya tidak lagi mengambil sebarang tempahan kek (mainan, kertas topper, edible image) yang menggunakan karakter yang berdaftar (copyright dan trademark) sejak 8 Oktober yang lalu.
Bukan hanya itu dalam notis sama, Ahlaa Cakes turut menyenaraikan antara karakter yang tidak diambilnya bagi mengelakkan isu hak cipta.
Hanya ambil jika dari mainan atu merchandise asli
“Hanya mainan dan merchandise original dan berlesan sahaja yang boleh digunakan dan pelanggan perlu sediakan mainan original sendiri jika mahu diletakkan di kek.
“Kami hanya mengambil tempahan tema yang generic dan tidak mempunyai sebarang jenama sahaja,” katanya lagi.
View on Threads
Pejabat mufti jelaskan perlu dapatkan izin
Menerusi semakan kami di laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berhubung isu menjual barang tiruan seseorang perlu meminta izin terlebih dahulu sekiranya sesuatu barang tersebut dipatenkan serta dimiliki hak ciptanya oleh seseorang.
“Maka hendaklah diminta izin daripadanya terlebih dahulu, jika tidak, maka boleh membawa kepada kezaliman mengambil hak orang lain.
“Sebaiknya, barang-barang yang dijual tidak diletakkan jenama atau logo yang membuat orang salah faham dan penipuan ia menyerupai produk lain yang memiliki perlindungan hak cipta dan paten.
“Aktiviti menjual barang tiruan boleh dikenakan tidakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 oleh Bahagian Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK),” jelasnya.
Ramai puji tindakan baker untuk rezeki yang berkat
Menjengah ke ruangan komen, ada juga mengatakan isu ini juga pernah tular sebelum ini yang membincangkan tentang keberkatan.
Ada juga memuji tindakan peniaga yang mahu elak daripada sebarang isu copyright serta mahukan rezeki yang berkat.
Tidak kurang ada juga menjelaskan hak cipta adlah milik pihak yang daftarkannya. Oleh itu perlu ada permohonan penggunaan secara rasmi atau ia akan dikira sebagai mencuri.
“Jawapan yang awak cari, dia dah tulis dalam ayat tu”

“Bagus baker ni”

“Hukumnya haram untuk dijadikan sebagai perniagaan. Sebab benda tu Copyrighted. Kalau awak nak Elsa, awak beli sendiri dan letk sendiri”

“Disny ada copyright nak guna watak dia kena mohon lesen atau permit tak silap. Kalau buat juga kemudian kantoi Disney boleh sama atau kira mencuri”

“Saya buat macam ni, beli topper dekat Shopee kemudian beli kek dekat kedai. Nanti saya cucuk je topper tu atas kek ikut tema anak. Jimat”

