
Agensi Angkasa Lepas Rusia, Roscosmos menyatakan mereka bakal melancarkan stesen angkasa sendiri selepas dipercayai mahu keluar dari International Space Station, (ISS), lapor Daily Mail.
Difahamkan, terdapat empat model stesen angkasa yang dirancang semasa fasa pertama dan dikembangkan kepada enam termasuk platform perkhidmatan yang telah dipamerkan di industri ketenteraan luar Moscow.
Menurut Ketua Roscosmos, Yuris Borisov melaporkan bahawa Rusia akan keluar daripada ISS pada tahun 2024 sambil mengusahakan stesen angkasa sendiri.
Sementara itu, Stesen Perkhidmatan Orbital Rusia, ROSS iaitu stesen baharu Roscosmos sehingga kini masih belum mendapat sebarang maklumat lanjut bila ia bakal dilancarkan.
Bagaimanapun, media tempatan Rusia mencadangkan bahawa peringkat pertama stesen angkasa itu boleh dilancarkan pada 2022 hingga 2025 manakala pada peringkat akhir pula pada 2030 hingga 2035.
Dalam pada itu, sebuah sumber industri yang tidak dinamakan melaporkan bahawa stesen angkasa berkenaan menelan kos perbelanjaan sebanyak kira-kira RM26.8 bilion.
Merujuk Daily Mail, stesen angkasa milik Rusia itu mampu menampung empat orang angkasawan termasuk peralatan saintifik.

Pengarah Penerbangan Bahagian Rusia ISS, Vladimir Solovyov menjelaskan bahawa stesen angkasa itu dikenali sebagai modul Nauka dan telah berlabuh dengan ISS pada tahun lepas.
Solovyov berkata, Rusia mesti kekal di stesen itu sehingga ROSS siap beroperasi.
“Sudah tentu kami meneruskan operasi ISS sehingga ROSS siap. Kami perlu mengambil kira jika menghentikan penerbangan selama beberapa tahun, maka ia bakal menjadi sangat sukar untuk memulihkan kembali perkara yang telah dicapai,” katanya.
Dalam pada itu, Modul Saintifik dan Tenaga pula bakal menjadi modul pertama dibina dengan enam kapsul untuk menurunkan angkasawan.
Bagaimanapun, Presiden Rusia, Vladimir Putin sebelum ini menarik balik kenyataan bahawa negaranya bakal meninggalkan ISS dan akan menempatkan angkasawannya di makmal saintifik orbit sehingga 2028.
Terdahulu, rancangan Rusia untuk meninggalkan ISS menjadi topik hangat di seluruh dunia pada bulan lepas, walaupun National Aeronautics and Space Administration (NASA) menjelaskan pihaknya belum mendengar secara rasmi mengenai perkara tersebut.
“NASA belum dimaklumkan mengenai keputusan daripada mana-mana rakan kongsi,” jelas Pentadbir NASA, Bill Nelson yang memberitahu Daily Mail pada Selasa.
NASA berharap bahawa ISS mampu kekal di orbit sehingga tahun 2030.
Sumber: Daily Mail
The post Nak Tinggalkan ISS, Rusia Bakal Lancar Stesen Angkasa Sendiri appeared first on Siakap Keli.


