Pelakon Zarif Ghazzi mengambil langkah perundangan dengan membuat laporan polis serta melantik peguam susulan dakwaan salah laku yang dikaitkan dengan namanya di media sosial.
Menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan pihak pengurusannya, Zarif menafikan sekeras-kerasnya sebarang dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan perlakuan tidak wajar, sama ada secara langsung mahupun melalui kenyataan yang boleh ditafsirkan merujuk kepadanya.
Menurut kenyataan itu, tindakan membuat laporan polis dan mendapatkan khidmat peguam diambil bagi membolehkan perkara berkenaan diteliti melalui saluran undang-undang yang sewajarnya.
“Satu laporan polis telah dibuat dan wakil peguam telah dilantik bagi mendapatkan nasihat serta meneliti tindakan perundangan yang bersesuaian.
“Zarif Ghazzi dengan tegas menafikan sebarang dakwaan salah laku yang dikaitkan atau yang mungkin ditafsirkan sebagai merujuk kepada dirinya, sama ada secara langsung, tidak langsung mahupun melalui sebarang bentuk innuendo,” menurut kenyataan tersebut.

Pihak pengurusan pelakon itu turut memandang serius sebarang tuduhan yang boleh menjejaskan reputasi seseorang, lebih-lebih lagi apabila dakwaan berkenaan belum dinilai berdasarkan fakta dan bukti yang relevan.
Sehubungan itu, pihaknya meminta masyarakat dan pengamal media supaya tidak membuat andaian atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga boleh menjejaskan maruah serta hak individu yang terlibat.
Pada masa sama, pihak pengurusan memaklumkan bahawa mereka tidak akan memberikan sebarang ulasan lanjut memandangkan perkara tersebut kini diserahkan kepada pihak berkuasa dan saluran perundangan.
“Buat masa ini, kami menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa dan saluran perundangan yang sewajarnya. Sehubungan itu, pihak kami tidak akan mengulas lanjut mengenai perkara yang masih dalam penelitian,” jelas kenyataan itu.

Terdahulu, nama pelakon filem Kudrat 1968: High Council berkenaan menjadi perhatian selepas dikaitkan dengan dakwaan yang dibangkitkan pelakon Puteri Balqis mengenai pengalaman kurang menyenangkan ketika menjayakan penggambaran bersama seorang pelakon lelaki.
Puteri Balqis atau mesra disapa Aqish sebelum ini mendakwa seorang pelakon lelaki sengaja bergesel dengannya ketika melakonkan babak tertentu, sehingga menyebabkan dirinya berasa tidak selesa.
Susulan kejadian yang didakwanya berulang, Aqish memaklumkan bahawa dia mengambil langkah bertemu pengarah bagi meminta supaya babak yang memerlukan sentuhan fizikal dikurangkan.

Bagaimanapun, dakwaan tersebut tidak disertakan pengesahan bahawa Zarif merupakan individu yang dimaksudkan.
Dalam perkembangan berkaitan, Aqish turut mendakwa menerima gangguan serta amaran daripada segelintir peminat fanatik pelakon lelaki yang pernah bergandingan dengannya.
Dia juga pernah menyuarakan pandangan bahawa dirinya tidak berminat menjalinkan hubungan percintaan dengan mana-mana pelakon lelaki, selain menyifatkan golongan lelaki dalam industri hiburan sebagai membosankan.
Sementara itu, Aqish pada malam sebelumnya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung penggunaan bahasa kesat serta kelantangannya menerusi beberapa hantaran media sosial yang mengundang kritikan orang ramai.





