
KUALA LUMPUR – Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac menggesa pelakon yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual supaya membuat laporan polis dan menggunakan saluran undang-undang bagi menangani perkara tersebut.
Hans berkata, tindakan itu penting bagi membolehkan dakwaan disiasat mengikut proses sewajarnya, selain memastikan individu terlibat mendapatkan perlindungan undang-undang.
“Kalau ada isu ini berlaku, perkara pertama yang saya mohon adalah buat laporan polis.
“Selepas buat laporan polis, maklumkan kepada Finas supaya kami boleh menilai tindakan yang boleh diambil terhadap produksi atau individu terbabit berdasarkan kuasa yang ada,” katanya yang ditemui usai program MeleTOP malam tadi.
Menurut Hans, setiap aduan perlu diteliti berdasarkan fakta dan bidang kuasa Finas sebelum sebarang tindakan boleh dilaksanakan.
Mengulas pendedahan seorang artis mengenai isu berkenaan, Hans berkata pihaknya tidak boleh membuat sebarang penilaian kerana tidak mempunyai maklumat terperinci tentang kes tersebut.
“Saya tak boleh mempertahankan atau menolak kenyataan seseorang kerana saya tak tahu butiran kesnya. Saya bukan polis untuk menentukan perkara tersebut,” ujarnya.
Dalam masa sama, Hans berkata, mangsa perlu berani tampil melaporkan perkara yang dianggap salah, termasuk memaklumkannya kepada penerbit sekiranya berlaku dalam sesebuah produksi.
“Perkara seperti ini tak sepatutnya disembunyikan. Kalau sesuatu itu salah, kita kena tangani,” tegasnya.
Mengenai perkongsian di media sosial, Hans mengingatkan bahawa reaksi orang ramai tidak menentukan kesahihan sesuatu dakwaan dari sudut undang-undang, justeru proses perundangan perlu diberi keutamaan.
Beliau turut memaklumkan Finas sedang membincangkan langkah perlindungan bagi menangani isu gangguan seksual yang merangkumi pelakon serta pekerja industri secara keseluruhan.
“Lindungi diri melalui undang-undang terlebih dahulu. Itu keutamaan. Selepas itu, kalau mahu berkongsi di media sosial, itu pilihan masing-masing,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Isu gangguan seksual, Hans Isaac gesa pelakon buat laporan polis appeared first on Kosmo Online.






