Nandagopall Mohan Cipta Sejarah, Menang Pelakon Baharu Terbaik Di Golden Horse Awards Menerusi Filem Sayang Sayang [Video]

LocalEntertainment
23 Nov 2026 • 10:35 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Nandagopall Mohan Cipta Sejarah, Menang Pelakon Baharu Terbaik Di Golden Horse Awards Menerusi Filem Sayang Sayang [Video]

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Satu lagi pencapaian membanggakan buat industri perfileman Malaysia apabila pelakon tempatan, Nandagopall Mohan, mencipta sejarah apabila memenangi Anugerah Pelakon Baharu Terbaik menerusi filem Sayang Sayang di Golden Horse Awards Ke-63, yang berlangsung di Taipei Music Center, Taipei, Taiwan pada Ahad (22 November).

Kemenangan tersebut sekali gus mengharumkan nama negara di salah satu pentas anugerah perfileman paling berprestij di Asia, serta membuktikan kemampuan bakat tempatan untuk meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Menerusi Sayang Sayang, Nandagopall membawakan watak Ajay, seorang remaja kurang pendengaran dan tidak boleh bertutur yang mempunyai minat mendalam terhadap tarian. Tanpa bergantung kepada dialog, beliau berjaya menyampaikan emosi dan menghidupkan wataknya melalui ekspresi wajah, bahasa tubuh serta pergerakan tarian yang memberikan impak kepada penonton.

Sayang Sayang raih 5 pencalonan

Filem Sayang Sayang terbitan More Entertainment Sdn Bhd dan IS Entertainment Co., Ltd dengan kerjasama Astro Shaw, meraih lima pencalonan di Golden Horse Awards Ke-63, merangkumi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi Mhia Firdaus, Pelakon Baharu Terbaik, Lakon Layar Asal Terbaik, Kesan Visual Terbaik dan Kesan Bunyi Terbaik.

Ketika menerima anugerah tersebut, Nandagopall turut menitipkan penghargaan kepada keluarga, pengarah serta seluruh pasukan produksi Sayang Sayang yang telah memberikan kepercayaan kepadanya untuk menghidupkan watak Ajay.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah mempercayai dan memberikan peluang kepada saya untuk membawa kisah ini. Saya juga ingin berterima kasih kepada Ajay kerana memilih saya untuk menceritakan kisahnya.

“Saya dedikasikan anugerah ini kepada semua insan yang pernah berasa terpinggir, terpaksa memendam perasaan atau merasakan suara mereka tidak didengari. Saya berharap melalui kisah Ajay, mereka akan menemui suara sendiri, belajar menerima diri dan menghargai siapa diri mereka sebenarnya.”

Diarahkan oleh pengarah Taiwan, Tang Hsiang-Chu, Sayang Sayang merupakan sebuah filem kerjasama produksi Malaysia dan Taiwan yang mengangkat kisah kekeluargaan, kasih sayang serta kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia. Filem ini mengetengahkan hubungan dan emosi manusia yang dekat dengan kehidupan seharian, sekali gus membuktikan bahawa kisah tempatan mampu mendapat perhatian dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Filem ini turut dibintangi barisan pelakon Malaysia dan Taiwan termasuk Amir Ahnaf, Khir Rahman, Farah Ahmad, Mhia Firdaus, Jo Kukathas, Sasha Tang, Ong Ai Leng dan Lee Lee-Zen.

Filem Sayang Sayang yang mula ditayangkan pada 5 November lalu masih berada di pawagam Malaysia. Orang ramai berpeluang menyaksikan sendiri persembahan lakonan Nandagopall Mohan yang berjaya mencipta sejarah di Golden Horse Awards Ke-63.

Netizen titip rasa bangga

Kemenangan Nandagopall yang turut dikongsikan media tempatan dan antarabangsa nyata menarik perhatian rakyat Malaysia.

Ramai yang menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan Nandagopall kerana telah mengangkat nama Malaysia dan industri perfileman tempatan ke persada dunia.

View this post on Instagram

A post shared by CNA (@channelnewsasia)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved